Perkembangan Jangkitan COVID-19 (23 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 94 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 52,268 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu di daerah Sandakan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 21 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 50,735 orang. Pada hari ini juga sejumlah 771 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 307 orang di hospital, 454 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 10 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 43 orang dan 13 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Kunak bertukar dari zon jingga ke zon kuning.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu dilaporkan.

Kluster Mawar di daerah Sandakan, mencatatkan 15 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes. Kes indeks dikesan hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 22 Februari 2021. Saringan kontak rapat terhadap 14 orang yang terdiri daripada ahli keluarga kes indeks, disahkan positif RTK Ag. Siasatan mendapati penularan jangkitan terjadi semasa menghadiri majlis makan malam sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada 12.2.2021 di kediaman sendiri.

Daripada 94 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 33 kes (35.1%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala lapan (8) kes (8.5%), saringan kluster baharu dan sedia ada 32 kes (34.1%), PERKESO lapan (8) kes (8.5%) dan 13 kes (13.8%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 sebanyak 785 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 3,913 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 5,698 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 13.53%.