Perkembangan Jangkitan COVID-19 (27 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 190 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,767 kes. Tiada kes kematian direkodkan hari ini.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 151 menjadikan jumlah kumulatif 66,681 orang. Seramai 1,407 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 431 orang di hospital, 965 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala sembilan (9) orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 67 orang dan 16 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah dicatatkan pada hari ini

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan satu (1) kes iaitu daripada 189 kes semalam (26 Jun 2021) kepada 190 kes (27 Jun 2021).
  • Daripada 190 kes jangkitan baharu hari ini, 75 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 57 kes adalah daripada saringan kluster, 27 kes adalah daripada saringan bergejala, 21 kes daripada saringan bersasar dan 10 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan 11 daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala satu (1) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Keningau 11 kes (+10). Daerah Papar kekal catatan kes baharu sebagaimana hari semalam iaitu dengan satu (1) kes.
  • Walau bagaimanapun, sembilan (9) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh (7) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, manakala dua (2) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kudat (-22) dan Kota Marudu (-13).
  • Pada hari ini, sembilan (9) daerah mencatatkan sifar (0) kes Beluran, Telupid, Kinabatangan, Semporna, Pitas, Ranau, Sipitang, Tenom dan Tambunan.
  • Ringkasan data keseluruhan pada hari ini ialah tujuh (7) daerah mencatatkan kes pada julat dua (2) angka manakala daerah lain hanya pada julat satu (1) angka, (12) daerah mencatatkan kenaikan kes, sembilan (9) daerah mencatatkan penurunan kes, enam (6) daerah kekal sebagaimana catatan hari semalam lima (5) daerah adalah sifar (0) kes, sembilan (9) daerah mencatatkan sifar (0) kes, dua (2) daerah (Beluran dan Tenom) sebagai Zon Hijau, dan tiga (3) kluster baru iaitu Kluster Tembok Kota Kinabalu (16 kes), Kluster Bata Durok sembilan (9) kes dan Kluster Linau Kumpang (13 kes), dengan kumulatif saringan kluster sebanyak (57) kes dimana (38) kes adalah dari kluster baru dan (19) kes adalah dari kluster sedia ada.
  • Setakat ini, Zon Hijau kekal kepada dua (2) daerah namun, dengan jumlah catatan sebanyak (75) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat tiga (3) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Kuarters Bata Durok - Keningau melibatkan penularan kes COVID-19 dalam komuniti di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Daerah Keningau. Kluster ini mula direkodkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau melalui saringan pra-kemasukan wad terhadap kes indeks, lelaki, warganegara, 69, dari Taman Keningau Ville di Hospital Keningau pada 23 Jun 2021. Siasatan kontak rapat kemudian mendapati 11 lagi kes positif RTK-Ag masing-masing dua (2) kes pada 24 Jun 2021 dan sembilan (9) kes pada 26 Jun 2021 menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 12 kes. Berdasarkan siasatan awal, aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram dipercayai menjadi punca jangkitan merebak kepada ahli keluarga seterusnya komuniti.

Kluster Linau Kumpang - Kota Belud
pada hari ini mencatat 13 kes baharu, menjadikan jumlah terkini kes positif COVID-19 sebanyak 30 kes. Kes indeks merupakan wanita, warganegara, 40, yang mempunyai gejala demam, selesma dan hilang deria bau sejak 11 Jun 2021, sebelum disahkan positif pada 13 Jun 2021 di Hospital Kota Belud. Susulan kes itu, pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 55 kontak menemukan 29 lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual, sementara satu (1) individu masih menunggu keputusan saringan pertama. Semua kes positif terbabit telah dirujuk untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Queen Elizabeth dan PKRC Kota Belud. Berdasarkan siasatan awal, kes indeks yang berasal dari Kg Ejuk berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti ketika menziarahi keluarganya, di Kg Linau Kumpang pada 10 Jun 2021.

Kluster Tembok Kota Kinabalu - Kota Kinabalu, Papar, Penampang
berlaku dalam kategori golongan berisiko di Penjara Pusat Kepayan, Kota Kinabalu. Kes indeks ialah banduan lelaki, warganegara Indonesia, 24, yang disahkan positif pada 17 Jun 2021 hasil saringan orang kena tahan (OKT) di penjara pusat tersebut. Berbanding 419 sampel yang telah diambil, 31 kes termasuk 13 kes baharu pada hari ini didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala 255 sampel didapati negatif serta 133 sampel masih menunggu keputusan. Sampel ulangan akan dijalankan terhadap kontak yang dikesan negatif. Turut dikesan positif, dua (2) kes yang didaftarkan di daerah Penampang dan satu (1) kes di daerah Papar hasil saringan kontak rapat sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 34 kes.