Perkembangan Jangkitan COVID-19 (24 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 203 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,232 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Kota Kinabalu.Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 220 menjadikan jumlah kumulatif 66,115 orang. Seramai 1,399 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 442 orang di hospital, 946 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 11 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 72 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated)

Tiada pertambahan zon merah direkodkan.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan 74 kes iaitu daripada 129 kes semalam (23 Jun 2021) kepada 203 kes (24 Jun 2021).
  • Daripada 203 kes jangkitan baharu hari ini, 112 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 68 kes adalah daripada saringan kluster, 10 kes adalah daripada saringan bergejala dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • 13 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan (8) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala lima (5) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Kinabatangan 29 kes (+29), Sandakan 31 kes (+27), Kalabakan 24 kes (+22), Beaufort 17 kes (+15) dan Penampang 19 kes (+13).
  • Walau bagaimanapun, sembilan (9) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh (7) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, manakala dua (2) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Papar (-17) dan Kota Kinabalu (-12).
  • Pada hari ini, sembilan (9) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Kunak, Tongod, Pitas, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan.
  • Ringkasan data keseluruhan pada hari ini ialah (13) daerah mencatatkan kenaikan kes, sembilan (9) daerah mencatatkan penurunan kes, lima (5) daerah kekal sebagaimana catatan hari semalam, sembilan (9) daerah mencatatkan sifar (0) kes, dua (2) daerah (Beluran dan Tenom) sebagai Zon Hijau, dua (2) kluster baru iaitu Kluster Paris Tiga Kinabatangan dan Kluster Brumas Camp Kalabakan, dan lima (5) kluster merekodkan catatan kes yang agak aktif iaitu Kluster Paris Tiga (27 kes), Kluster Brumas Camp (11 kes), Kluster Kampung Nelayan Tengah sembilan (9) kes, Kluster Lot 9 lapan (8) kes serta Kluster Jalan Bundusan lima (5) kes.
  • Terdapat trend perubahan angka jangkitan baharu harian yang tidak statik serta jumlah catatan sebanyak 112 kes daripada Saringan Kontak Rapat, maka dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Paris Tiga - Kinabatangan
melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah Kilang Sawit Bell, Kinabatangan. Kes indeks merupakan kerani wanita, 41, yang bergejala sejak 07 Jun 2021 telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu pada 14 Jun 2021, sebelum disahkan positif COVID-19 melalui ujian saringan  RT-PCR pada 18 Jun 2021. Susulan kes itu, saringan kontak rapat mengesan 28 lagi kes positif dalam kalangan penduduk perumahan kilang terbabit, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kes. Semua kes positif telah menjalani penilaian dan pemeriksaan di Hospital Kinabatangan dan seterusnya dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah Kinabatangan. Setakat hari ini, aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja kilang dan ladang yang lain.

Kluster Brumas Camp - Kalabakan adalah kluster baharu di Mukim Brumas, Daerah Kalabakan melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti dan tempat kerja. Kes indeks adalah guru lelaki di SK Brumas, 50, yang juga AJK Masjid Al Ubudiyah di Perumahan Brumas Camp dalam Ladang Perkayuan Sabah Softwood. Kes indeks disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 12 jun 2021. Sehingga 22 Jun 2021, saringan yang dijalankan terhadap 75 kontak kemudian mengesan 19 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, rakan sekerja dan AJK masjid yang tinggal di perumahan tersebut. Turut disahkan, isteri serta dua anak kepada kes indeks yang salah seorang bekerja di Ladang Perkayuan Brumas Camp Softwood. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak serta mengenal pasti puncajangkitan masih giat dijalankan.