Perkembangan Jangkitan COVID-19 (17 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 248 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,978 kes. Empat (4) kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua (2) kes di daerah Tawau, satu (1) kes di Kunak dan satu (1) kes lagi di Kota Kinabalu. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 350 menjadikan jumlah kumulatif 64,101 orang. Seramai 1,911 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 527 orang di hospital, 1,382 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala dua (2) orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 92 orang dan 35 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah dicatatkan

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • PPada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 64 kes iaitu daripada 184 kes semalam (16 Jun 2021) kepada 248 kes (17 Jun 2021).
  • Daripada 248 kes jangkitan baharu hari ini, 85 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 108 kes adalah daripada saringan kluster, 32 kes adalah daripada saringan bergejala, 10 kes daripada saringan bersasar dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • 10 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima (5) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala lima (5) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Papar 49 kes (+42), Kota Belud 20 kes (+16), Kudat 15 kes (+13), Lahad Datu 16 kes (+11) dan Sandakan 17 kes (+10). Dua (2) daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Kota Kinabalu (60 kes) dan Keningau dua (2) kes kekal sebagaimana jumlah kes semalam.
  • Catatan kes yang agak tinggi di Kota Kinabalu dipengaruhi oleh jumlah Saringan Kluster dari lima (5) kluster iaitu sebanyak 27 kes baharu yang didominasi oleh Kluster Coral sebanyak 17 kes, manakala peningkatan yang dicatatkan oleh Papar pula disumbangkan oleh oleh Kluster Kg Gusi yang mencatatkan 44 kes baharu.
  • Walau bagaimanapun, tujuh (7) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Lima (5) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, manakala dua (2) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kunak (-15) dan Tawau (-13).
  • Pada hari ini, 10 daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Telupid, Kinabatangan, Kunak, Tongod, Pitas, Ranau, Sipitang, Tenom dan Tambunan.
  • Secara keseluruhan, penerimaan masyarakat terhadap keperluan untuk pematuhan SOP Kendiri dapat dilihat daripada perubahan angka setiap hari. Dengan catatan 108 kes melalui Saringan Kluster dan 85 kes melalui Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan bahawa masih terdapat kebarangkalian berlakunya aktiviti ketidakpatuhan terhadap SOP yang telah digariskan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.