Perkembangan Jangkitan COVID-19 (14 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 273 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,316 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Beaufort. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 390 menjadikan jumlah kumulatif 63,236 orang. Seramai 2,044 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 527 orang di hospital dan 1,517 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 96 orang dan 39 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan hari ini.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 62 kes iaitu daripada 335 kes kelmarin (13 Jun 2021) kepada 273 kes (14 Jun 2021).
  • Daripada 273 kes jangkitan baharu hari ini, 146 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 78 kes adalah daripada saringan kluster, 16 kes adalah daripada saringan bergejala, 25 kes daripada saringan bersasar dan lapan (8) kes adalah daripada lain-lain kes.
  • 15 daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Lapan (8) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, manakala tujuh (7) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Tuaran (-30), Lahad Datu (-28), Papar (-19), Kota Belud (-16), Putatan (-16) Tongod (-10) dan Nabawan (-10).
  • Walau bagaimanapun, enam (6) daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan dua (2) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala empat (4) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Kota Kinabalu 86 kes (+37), Tawau 43 kes (+22), Kudat 41 kes (+14) dan Sandakan 23 kes (+14). Daerah Kunak kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan empat (4) kes.
  • Pada hari ini,sembilan (9) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Tongod, Pitas, Kota Marudu, Ranau, Putatan, Kuala Penyu, Tenom dan Tambunan.
  • Dalam pada itu, penyumbang kepada jumlah kes di Kota Kinabalu yang agak tinggi hari ini dengan kumulatif 86 kes sebahagiannya adalah daripada 4 kluster berlainan, iaitu sebanyak 57 kes dengan 29 kes didominasi oleh Kluster Ocean Blue yang telah mencatat kumulatif 157 kes hingga kini. 57 kes Saringan Kluster (Kota Kinabalu) hari ini dilakukan oleh pihak ATM (29 kes dari Kluster Ocean Blue) dan pihak KKM (28 kes).
  • Secara keseluruhan, perubahan angka yang tidak statik di daerah bukan Zon Hijau, saringan kontak rapat yang menyumbang kepada 146 kes dan hanya satu (1) daerah berzon hijau sangat signifikan kepada kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan kepada SOP yang telah digariskan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini
.