Perkembangan Jangkitan COVID-19 (13 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 335 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,043 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Tawau dan satu (1) kes Lahad Datu. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 329 menjadikan jumlah kumulatif 62,846 orang. Seramai 2,044 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 520 orang di hospital dan 1,524 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 101 orang dan 41 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan hari ini.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 43 kes iaitu daripada 378 kes kelmarin (12 Jun 2021) kepada 335 kes (13 Jun 2021).
  • Daripada 335 kes jangkitan baharu hari ini, 170 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 102 kes adalah daripada saringan kluster, 26 kes adalah daripada saringan bergejala, 17 kes daripada saringan bersasar dan 20 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • Lapan (8) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Empat (4) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, manakala empat (4) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kudat (-56), Papar (-31), Sandakan (-29) dan Tawau (-19).
  • Walau bagaimanapun, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima (5) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala tujuh (7) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Tuaran 35 kes (+23), Putatan 16 kes (+14), Beaufort 18 kes (+13), Kinabatangan 12 kes (+12), Lahad Datu 32 kes (+10), Tongod 10 kes (+10) dan jumlah kes positif Covid-19 di daerah Kota Kinabalu hari ini adalah 49 kes (+17) dengan pertambahan kes daripada Kluster Ocean Blue sebanyak enam (6) kes menjadikan kumulatif kes meningkat kepada 157 kes daripada 185 anak kapal yang terbabit dalam Kapal KD Mahawangsa. Dua (2) daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Kota Belud (19 kes) dan Semporna lima (5) kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin.
  • Pada hari ini, lima (5) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Pitas, Kuala Penyu, Tenom dan Tambunan.
  • Perubahan angka harian yang berlaku disetiap daerah bukan Zon Hijau adalah tidak statik. Kesimpulan terbaik daripada kenaikan dan penurunan angka kes yang tidak stabil ialah terdapat Kebarangkalian yang sangat tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan terhadap SOP yang telah digariskan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat tiga (3) kluster baharu direkodkan hari ini.

  1. Kluster Eioz Selatan ; Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang merupakan penularan jangkitan di tempat kerja melibatkan kakitangan Servay Express Warehouse di KKIP Selatan Kota Kinabalu. Kebanyakan kes positif terdiri daripada pekerja dari daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran, malah telah merebak kepada generasi kedua iaitu ahli keluarga kepada kakitangan di gudang terbabit. Kes indeks adalah pekerja am, lelaki, 23, tinggal di Taman Sri Rugading Tuaran disahkan positif COVID-19 pada 03 Jun 2021, setelah mengalami gejala sejak 31 Mei 2021 di Hospital Tuaran. Susulan kes itu, saringan kontak rapat terhadap 40 rakan sekerja dan ahli keluarga mengesan sembilan (9) lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes merangkumi tujuh (7) kes di Kota Kinabalu, dua (2) kes di Tuaran dan satu (1) di Penampang. Sementara itu, 12 kontak didapati negatif manakala empat (4) sampel masih menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak dan siasatan punca jangkitan giat dijalankan.
  2. Kluster Kg Kebayau; Kota Belud, Keningau berkaitan rapat dengan majlis pengembumian di Kg Kebayau pada 26 Mei 2021. Kes indeks merupakan tukang bina rumah, lelaki, 26, bergejala demam, batuk, sakit tekak serta hilang deria bau dan rasa sejak 30 Mei 2021, sebelum disahkan positif COVID-19 pada 03 Jun 2021. Hasil pengesanan secara aktif dan saringan telah dijalankan ke atas 112 individu dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual. Daripada jumlah itu, 27 individu dikesan positif, lapan (8) individu masih menunggu keputusan saringan pertama, manakala baki didapati negatif. Kes positif dalam kluster ini meliputi 23 kes yang didaftarkan di daerah Kota Belud, sementara empat (4) kes di daerah Keningau. Semua kes positif telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Queen Elizabeth dan PKRC.
  3. Kluster Jalan Agaseh; Lahad Datu membabitkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah syarikat kejuruteraan elektrik. Kluster ini mencatat tiga (3) kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 15 kes. Kes indeks adalah warganegara, wanita, 64, yang dikesan positif COVID-19 pada 09 Jun 2021 hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Lahad Datu. Hasil pengesanan secara aktif, 51 kontak rapat telah disaring dan mengesan 14 lagi kes disahkan positif, manakala 36 kontak pula didapati negatif saringan pertama. Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu. Sementara itu, kontak-kontak rapat telah diarahkan menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu. Punca jangkitan masih dalam siasatan.