Perkembangan Jangkitan COVID-19 (12 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 378 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,708 kes. Lima (5) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Tawau, satu (1) kes Semporna, satu (1) kes Kota Kinabalu, satu (1) kes Lahad Datu dan satu (1) kes lagi di Putatan. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 210 menjadikan jumlah kumulatif 62,517 orang. Seramai 1,996 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 524 orang di hospital dan 1,472 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 98 orang dan 39 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Sipitang bertukar dari zon kuning ke zon jingga manakala Telupid berubah dari zon jingga ke zon merah.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 69 kes iaitu daripada 309 kes kelmarin (11 Jun 2021) kepada 378 kes (12 Jun 2021).
  • Daripada 378 kes jangkitan baharu hari ini, 167 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 130 kes adalah daripada saringan kluster, 31 kes adalah daripada saringan bergejala, 36 kes daripada saringan bersasar dan 14 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan tujuh (7) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala lima (5) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Kudat 75 kes (+48), Papar 58 kes (+39), Sandakan 38 kes (+28) , Telupid 15 kes (+14) dan Sipitang 13 kes (+11). Daerah Kota Kinabalu kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan 32 kes.
  • Walau bagaimanapun, sembilan (9) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Lima (5) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, manakala empat (4) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kinabatangan (-26), Tawau (-16), Putatan (-15) dan Lahad Datu (-10).
  • Pada hari ini, sembilan (9) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Kinabatangan, Tongod, Pitas, Kota Marudu, Ranau, Kuala Penyu, Tenom dan Tambunan.
  • Peningkatan ketara kes baharu sungguhpun daerah yang mencatatkan sifar (0) kes dan penurunan kes meningkat berbanding kelmarin adalah disebabkan berlakunya aktiviti saringan bersasar yang diperhebat di lokaliti yang dikenakan PKPD. Namun begitu, perubahan angka harian yang tidak statik bagi daerah-daerah bukan Zon Hijau, selain pengecilan jumlah daerah Zon Hijau di Negeri Sabah menandakan kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidapatuhan kepada SOP yang telah digariskan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat tiga (3) kluster baharu direkodkan hari ini.

  1. Kluster Ambar Park - Tawau direkodkan di Mukim Sri Tanjung di daerah Tawau melalui saringan Brought In Dead (BID) terhadap kluster indeks iaitu warganegara, lelaki, 71, yang disahkan positif ujian RTK-Ag 100% pada 1 Jun 2021. Susulan kes itu, 45 kontak rapat telah disaring dan mengesan 15 lagi kes positif COVID-19 yang turut melibatkan kes jangkitan kontak keluarga generasi kedua, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes. Manakala, 28 kontak didapati negatif dan seorang (1) kontak masih menunggu keputusan ujian. Berdasarkan maklumat, dianggarkan lebih 50 ahli keluarga dan kontak sosial telah menziarahi kes indeks untuk majlis doa selamat di rumah kes indeks, di Kg Kadazan, Ambar Park. Pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.
  2. Kluster Indah - Nabawan berkaitan majlis pertunangan di Kampung Indah, Nabawan pada 20 Mei 2021, malah penularan wabak COVID-19 dalam kluster ini melibatkan generasi kedua. Kes indeks merupakan warganegara, wanita, 34, yang dikesan positif melalui saringan prarawatan pada 22 Mei 2021, namun tidak menunjukkan sebarang gejala. Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 124 kontak menemukan 20 lagi kes positif dan merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 21 kes. Daripada jumlah yang disaring, 100 individu didapati negatif saringan pertama dan tiga (3) individu masih menunggu keputusan ujian saringan. Semua kes positif telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Keningau. Manakala, kontak rapat pula telah diarahkan kuarantin. Berdasarkan penelitian, kes indeks berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti .
  3. Kluster Kg Baru - Sipitang melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Sindumin daerah Sipitang. Kes indeks adalah warganegara, lelaki, 58, disahkan positif (RTK Antigen 100%) pada 26 Mei 2021, selepas dikesan sebagai kontak rapat kepada anak buahnya. Kes indeks juga mengalami simptom batuk, sakit kepala dan malaise sejak 23 Mei 2021 serta mempunyai sejarah pergerakan ke luar daerah iaitu ke Keningau pada 16 Mei 2021. Hasil pengesanan dan saringan kontak yang melibatkan kaitan epidemiologi sama iaitu menghadiri rumah ibadat di SFI, 23 kes positif COVID-19 dicatat termasuk penambahan 13 kes baharu pada hari ini.