Perkembangan Jangkitan COVID-19 (11 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 309 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,330 kes. Enam (6) kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua (2) kes di daerah Tawau, satu (1) kes Semporna, satu (1) kes Sandakan, satu (1) kes Kuala Penyu dan satu (1) kes lagi di Beaufort. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 235 menjadikan jumlah kumulatif 62,307 orang. Seramai 1,978 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 537 orang di hospital dan 1,441 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 96 orang dan 37 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Keningau dan Kuala Penyu bertukar dari zon merah ke zon jingga manakala Ranau berubah dari zon kuning ke zon jingga.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 76 kes iaitu daripada 233 kes kelmarin (10 Jun 2021) kepada 309 kes (11 Jun 2021).
  • Daripada 309 kes jangkitan baharu hari ini, 143 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 91 kes adalah daripada saringan kluster, 30 kes adalah daripada saringan bergejala, 26 kes daripada saringan bersasar dan 19 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima (5) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala tujuh (7) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Lahad Datu 32 kes (+27), Kinabatangan 26 kes (+25), Tuaran 21 kes (+17), Kota Belud 17 kes (+16), Tawau 56 kes (+14), Kudat 27 kes (+11). Tiga daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Penampang (14 kes), Beaufort enam (6) kes dan Sipitang dua (2) kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin.
  • Walau bagaimanapun, sembilan (9) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh (7) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, manakala dua (2) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kota Kinabalu (-26) dan Sandakan (-23).
  • Pada hari ini, enam (6) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Tongod, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom dan Keningau.
  • Trend perubahan angka bagi setiap daerah di Negeri Sabah adalah tidak statik. Peningkatan daerah yang mencatat sifar (0) angka pada hari ini tidak menunjukkan keadaan yang lebih meyakinkan kerana, dengan hanya satu (1) daerah yang berstatus Zon Hijau dan perubahan angka turun naik yang berlaku setiap hari di daerah-daerah bukan Zon Hijau, kesimpulan terbaik yang boleh dibuat ialah masih berlaku kebarangkalian aktiviti ketidakpatuhan yang sangat tinggi kepada SOP yang telah digariskan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

  1. Kluster Kopi Blues - Tawau melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Sri Tanjung daerah Tawau. Kes indeks merupakan suri rumah, 46, dari Kg Lorong Saddani, Batu 2 yang disahkan positif melalui saringan bergejala pada 09 Jun 2021 bersama anaknya. Daripada 20 sampel yang telah diambil menerusi saringan kontak rapat dan kontak sosial, 10 sampel dikesan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes. Sementara itu, dua (2) sampel didapati negatif manakala enam (6) sampel masih menunggu keputusan. Siasatan awal mendapati semua kontak telah menghadiri perjumpaan di Kg Kopi Blues Batu 2, iaitu rumah keluarga mereka sempena majlis pengebumian dan tahlil pada 29 Mei 2021. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan.