Perkembangan Jangkitan COVID-19 (09 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 232 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 64,788 kes. Tiga (3) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 274 menjadikan jumlah kumulatif 61,860 orang. Seramai 1,882 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 532 orang di hospital dan 1,350 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 103 orang dan 34 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Nabawan bertukar dari zon jingga ke zon merah manakala daerah Tongod berubah dari zon hijau ke zon kuning.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini,jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 118 kes iaitu daripada 350 kes kelmarin (08 Jun 2021) kepada 232 kes (09 Jun 2021).
    Daripada 232 kes jangkitan baharu hari ini, 127 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 55 kes adalah daripada saringan kluster, 25 kes adalah daripada saringan bergejala, sembilan (9) kes daripada saringan bersasar dan 16 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • Terdapat 11 daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Lapan (8) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka, tiga (3) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Lahad Datu (-11), Papar (-11) dan Kunak (-10), manakala satu (1) daerah lagi mencatatkan penurunan pada julat tiga (3) angka iaitu Kota Kinabalu (-122).
  • Walau bagaimanapun, 10 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan sembilan (9) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala satu (1) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Tawau 36 kes (+16). Daerah Nabawan kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan tiga (3) kes.
  • Pada hari ini, enam (6) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Telupid, Kunak, Pitas, Kota Marudu dan Ranau.
    Penurunan yang agak ketara terjadi disebabkan berlakunya jangkitan kelompok yang besar dalam satu-satu masa, kemudiannya dikawal dan hanya menjangkiti kelompok tersebut tanpa sempat menyebar kepada komuniti. Walau bagaimanapun, Zon Hijau sudah berkurangan kepada satu (1) iaitu Daerah Beluran. Kegagalan untuk mengekalkan jumlah Zon Hijau selain daripada perubahan angka yang sangat tidak statik bagi daerah bukan Zon Hijau menunjukkan terdapat kebarangkalian berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

  1. Kluster Lot Sembilan; Beaufort, Kuala Penyu mula direkodkan di Hospital Beaufort apabila kes indeks, pegawai lelaki, 36, di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Kuala Penyu dikesan positif dalam saringan bergejala pada 24 Mei 2021. Saringan kontak kemudiannya mendapati 11 pekerja AIM positif COVID-19, termasuk empat (4) orang yang berulang-alik bertugas di Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Labuan. Hal ini telah membawa kepada penularan wabak dalam kalangan ahli keluarga yang kini mencatat jumlah kumulatif sebanyak 24 kes. Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beaufort dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Penyu kini sedang giat menjalankan pengesanan kontak secara lebih komprehensif dan meluas bagi membendung penularan wabak dalam kalangan komuniti.
  2. Kluster Jalan Wisma, Kota Kinabalu melibatkan tujuh (7) kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja B Bang Capsule Hotel, di pusat bandar raya. Kes indeks merupakan lelaki, 24, tukang masak di hotel tersebut dikesan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Harington pada 04 Jun 2021 dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut. Susulan kes itu, 25 sampel telah diambil dan mendapati enam (6) lagi kes positif, 12 negatif sementara enam (6) sampel masih menunggu keputusan. Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan COVID-19 berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai pematuhan SOP yang ketat dalam kawasan tempat kerja. Siasatan lanjut masih dijalankan.