Perkembangan Jangkitan COVID-19 (07 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 336 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 64,206 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Kota Kinabalu. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 256 menjadikan jumlah kumulatif 61,271 orang. Seramai 1,667 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 518 orang di hospital dan 1,149 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 88 orang dan 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Telupid bertukar dari zon kuning ke zon jingga.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

  • Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 31 kes iaitu daripada 305 kes kelmarin (06 Jun 2021) kepada 336 kes  (07 Jun 2021).
  • Daripada 336 kes jangkitan baharu hari ini, 140 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 117 kes adalah daripada saringan kluster, 31 kes adalah daripada saringan bergejala, 32 kes daripada saringan bersasar dan 16 kes adalah daripada lain-lain kes.
  • Terdapat 11 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan tujuh (7) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala empat (4) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Papar 43 kes (+29), Kalabakan 19 kes (+18), Tuaran 13 kes (+11) dan Telupid 12 kes (+12). Daerah Pitas kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan satu (1) kes.
  • Walau bagaimana pun, 10 daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Enam (6) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka manakala empat (4) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kudat (-27), Nabawan (-11), Kota Kinabalu (-10) dan Penampang (-10).
  • Pada hari ini, tujuh (7) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Tongod, Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan. Perubahan angka untuk keseluruhan daerah-daerah di Sabah adalah tidak statik kecuali daerah yang mengekalkan status Zon Hijau. Trend ini menandakan bahawa adanya jangkitan baharu setiap hari, dengan pengekalan hanya dua (2) daerah berstatus Zon Hijau. Kes baharu adalah signifikan kepada kebarangkalian berlakunya aktiviti ketidakpatuhan kepada SOP yang telah digariskan.
  • Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat empat (4) kluster baharu direkodkan hari ini.

  1. Kluster Hamparan, Kinabatangan membabitkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja serta keluarga di Kilang Sawit Ong YaHoo, Kinabatangan. Kes indeks merupakan wanita, 26, pekerja pengurusan (Quality Assurance Executive) di kilang berkenaan yang disahkan positif (RTK-Ag) di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 29 Mei 2021, setelah mengalami gejala sejak 25 Mei 2021. Saringan kontak mendapati 17 kes positif di tempat kerja serta sembilan (9) kes lagi adalah kontak tanggungan (dependant), menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27 kes. Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja kilang dan ladang yang lain.
  2. Kluster Kampung Bolong Baru yang melibatkan daerah Tuaran dan Kota Belud adalah kluster ekoran sambutan aidilfitri yang menular dalam komuniti dan tempat kerja. Kes indeks ialah suri rumah, 28, dari Kg Bolong Baru yang mempunyai gejala demam, sakit tekak, selesma, batuk dan hilang deria bau sejak 22 Mei 2021, sebelum disahkan positif RTK Antigen pada 27 Mei 2021. Susulan penemuan kes positif itu, saringan kontak dijalankan bermula pada 27 Mei 2021 terhadap 259 kontak rapat dan tempat kerja iaitu QL Marine, Tuaran. Daripada jumlah itu, 26 kes positif didaftarkan di daerah Tuaran manakala tujuh (7) kes lagi di daerah Kota Belud, menjadikan jumlah terkini sebanyak 33 kes. Berdasarkan maklumat, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada ahli keluarga dalam aktiviti kunjung - mengunjung pada hari raya pertama dan kedua di Kg Bolong Baru, Kg Tambalang dan Kg Kota, Tuaran.
  3. Kluster Taman Wawasan yang melibatkan daerah Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu direkodkan di Hospital Papar apabila ujian RT-PCR kluster indeks, lelaki, 66, disahkan positif pada 18 Mei 2021, setelah bergejala sejak 07 Mei 2021 namun tidak mendapatkan rawatan. Saringan kontak pada 22 Mei 2021 mendapati dua (2) kes positif masing-masing di Klinik Kesihatan dan klinik swasta di Kota Kinabalu. Kedua-dua kontak rapat ini terlibat dengan aktiviti kunjung-mengunjung semasa hari raya di Kampung Tarap Bongawan. Turut dikesan positif, empat (4) sekeluarga di Taman Wawasan Beaufort yang membawa kepada penemuan 16 lagi kes positif di taman terbabit. Pada hari ini, tujuh (7) kes baharu dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30 kes. Aktiviti saringan serta mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan.
  4. Kluster Jalan Budi, Tawau melibatkan individu yang dikesan negatif RT-PCR ketika menjalani saringan masuk ke Sabah pada 19 Mei 2021, namun disahkan positif dalam saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada 02 Jun 2021. Kes indeks merupakan wanita, 37, pekerja salon kecantikan di Johor mula bergejala pada 30 Mei 2021, sebelum didapati positif pada 2 Jun 2021. Saringan kontak rapat kemudian menemukan sembilan (9) kes positif dalam kalangan rakan serumah, menjadikan jumlah terkini sebanyak 10 kes. Pengesanan kontak dan punca jangkitan masih dijalankan.