Perkembangan Jangkitan COVID-19 (06 Jun 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 305 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 63,870 kes. Tiada kes kematian direkodkan hari ini.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 208 menjadikan jumlah kumulatif 61,015 orang. Seramai 1,681 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 500 orang di hospital dan 1,181 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 98 orang dan 29 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Tenom bertukar dari zon jingga ke zon kuning

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 46 kes iaitu daripada 259 kes kelmarin (05 Jun 2021) kepada 305 kes (06 Jun 2021).
Daripada 305 kes jangkitan baharu hari ini, 178 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 64 kes adalah daripada saringan kluster, 34 kes adalah daripada saringan bergejala, empat (4) kes daripada saringan bersasar dan 25 kes adalah daripada lain-lain kes.

Terdapat 11 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan tujuh (7) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala empat (4) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Kudat 37 kes (+30), Kinabatangan 23 kes (+23), Kota Kinabalu 41 kes (+21) dan Tawau 72 kes (+14).

Walau bagaimana pun, 12 daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Sembilan (9) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka manakala tiga (3) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kota Marudu (-13), Sandakan (-12), dan Kunak (-12).

Pada hari ini, lapan (8) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Telupid, Tongod, Kota Marudu, Ranau, Sipitang, Tenom dan Tambunan.

Perubahan angka untuk keseluruhan daerah-daerah di Sabah adalah tidak statik kecuali daerah yang mengekalkan status Zon Hijau. Daerah Kudat, Kinabatangan, Kota Kinabalu dan Tawau secara kumulatif menyumbang kepada 173 kes dengan pertambahan sebanyak 88 kes berbanding kelmarin. Peningkatan kes menandakan kebarangkalian terdapatnya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan.

Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat enam (6) kluster baharu direkodkan hari ini.

  1. Kluster Jalan Utama di daerah Sandakan merupakan kluster tempat kerja yang mencatat jumlah terkini sebanyak 15 kes, Kes indeks adalah pekerja wanita, 51, di MPI Generali Insurans Berhad (Cawangan Sandakan) yang disahkan positif RTK Anitigen di klinik swasta pada 28 Mei 2021, setelah mengalami gejala demam pada hari sebelumnya. Susulan kes itu, hasil saringan terhadap 78 individu mengesan 14 lagi kes positif COVID-19 yang terdiri daripada tujuh (7) kes kontak di tempat kerja, lima (5) kes kontak serumah dan dua (2) kes kontak sosial. Siasatan awal mendapati penularan jangkitan berlaku di dalam ruangan tempat kerja syarikat insurans berkenaan.
  2. Kluster Sawit, Kinabatangan melibatkan penularan COVID-19 dalam kalangan komuniti dan tempat kerja iaitu di Ladang Sawit Syarimo, Kinabatangan. Kes Indeks merupakan kerani wanita, 25, yang dikesan positiF RTK-Ag melalui saringan masuk kerja di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 31 Mei 2021. Saringan kontak kemudiannya mendapati 28 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes. Jumlah tersebut merangkumi 14 kes kontak di tempat kerja manakala baki 15 kes adalah jangkitan terhadap kontak tanggungan (dependant). Semua kes positif kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah Kinabatangan selepas dinilai di Hospital Kinabatangan. Setakat hari ini, aktiviti disinfeksi diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang yang lain.
  3. Kluster Murni C: Nabawan, Penampang merupakan kluster yang tercetus berikutan majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kg Murni C, Nabawan pada 20 hingga 21 Mei 2021. Kluster ini didaftarkan di Penampang apabila kluster indeks, lelaki warganegara, 33, mengalami gejala demam dan sesak nafas sejak 20 Mei 2021, disahkan positif di Klinik Kesihatan Penampang pada 22 Mei 2021. Pengesanan secara aktif berjaya menyaring 121 individu terdiri daripada keluarga, kontak rapat dan kontak kasual. Daripada jumlah tersebut, 21 kes didapati positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes, sementara 86 individu masih menunggu keputusan saringan pertama serta seorang (1) kontak pula negatif. Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan.
  4. Kluster Tamalang, Kota Belud melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang merekodkan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 27 kes. Pada 27 Mei 2021, kes indeks, lelaki, 25, dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kota Belud. Saringan kontak rapat kemudian mendapati 17 lagi kes positif RTK-Ag dan RT-PCR pada 27 Mei 2021 hingga 03 Jun 2021. Turut disahkan positif, sembilan (9) kontak sosial kepada Jurulatih Akademi Memandu Kota Belud di Kg Tamalang Kota Belud, memandangkan kes indeks menjalani latihan dan ujian memandu di akademi terbabit mulai 23 hingga 27 Mei 2021. Berdasarkan maklumat awal, penularan jangkitan dipercayai ekoran aktiviti sosial komuniti di lokaliti terbabit seperti kelas mengaji Al-Quran, latihan dan ujian memandu serta aktiviti ziarah keluarga dan jiran. Bagaimanapun, siasatan punca sebenar jangkitan dan saringan masih giat dijalankan.
  5. Kluster Kg Gusi, Papar pada hari ini merekodkan enam (6) kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes. Kes indeks bagi kluster jenis komuniti dan keagamaan ini merupakan lelaki, 60, bersama isterinya yang mula bergejala sejak 28 Mei 2021 sebelum disahkan positif di Hospital Papar. Turut dikesan positif, 16 rakan serumah melalui saringan kontak rapat. Pada 04 Jun 2021, Pejabat Kesihatan Daerah Papar menjalankan saringan bersasar di Surau Al-Kautsar iaitu tempat kes indeks menunaikan solat maghrib dan Isyak. Daripada 31 jemaah yang disaring, lima (5) daripada mereka didapati positif. Dalam perkembangan berkaitan, dua (2) lagi kes positif dikesan masing-masing menerusi saringan bergejala di Hospital Papar dan saringan pra-rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu pada 02 Jun 2021. Kedua-dua individu berkenaan adalah penduduk Kg Gusi dan mempunyai sejarah menunaikan solat di Surau Al-Kautsar sejak dua minggu lalu. Kini, aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan.
  6. Kluster Ketiau Tembovo, Putatan merupakan kluster jenis komuniti dan keagamaan yang merekodkan jumlah terkini sebanyak sembilan (9) kes positif COVID-19 bagi daerah Putatan. Kes indeks, lelaki, 63, dilaporkan mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan hilang deria rasa sejak 27 Mei 2021, sebelum disahkan positif RTK-Ag di Klinik Kesihatan Putatan pada 29 Mei 2021. Susulan kes itu, saringan kontak pada 30 Jun 2021 mendapati lapan (8) lagi kes positif termasuk dua (2) kes kontak serumah dan enam (6) kes kontak rapat kepada rakan serumah kes indeks yang bekerja di kilang ayam, QL Agroventure Sdn. Bhd. Setakat ini, aktiviti saringan dan kawalan masih dijalankan secara aktif.