Perkembangan Jangkitan COVID-19 (03 Jun 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 203 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 63,019 kes. Tujuh (7) kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua (2) kes di daerah Sandakan, satu (1) kes di Kota Kinabalu, satu (1) kes di Lahad Datu, satu (1) kes di Kunak, satu (1) kes di Semporna dan satu (1) kes lagi di Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 201 menjadikan jumlah kumulatif 60,366 orang. Seramai 1,734 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 460 orang di hospital dan 1,274 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 77 orang dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah dilaporkan pada hari ini.

ℹ Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

i Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 51 kes iaitu daripada 254 kes kelmarin (2 Jun 2021) kepada 203 kes (3 Jun 2021).

ii Daripada 203 kes jangkitan baharu hari ini, 121 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 21 kes adalah daripada saringan kluster, 43 kes adalah daripada saringan bergejala, enam (6) kes daripada saringan bersasar dan 12 kes adalah daripada lain-lain kes.

iii 12 daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Sembilan (9) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka manakala tiga (3) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kunak (-35), Sandakan (-23) dan Lahad Datu (-12).

iv Walau bagaimanapun, terdapat sembilan (9) daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini pada julat satu (1) angka. Daerah Keningau kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan dua (2) kes.

v Pada hari ini, enam (6) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Tongod, Pitas, Sipitang, Tenom dan Tambunan.

vi Sabah mengalami trend penurunan sebanyak dua (2) hari berturut-turut. Sungguhpun begitu, daerah-daerah yang berzon hijau kini telah berkurangan daripada sebelumnya menandakan adanya jangkitan baru sebagai tanda kebarangkalian berlakunya ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan.

vii Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pendemik Covid-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Jalan Coastal Sembulan Kota Kinabalu melibatkan kakitangan syarikat konsesi parkir, Secure Parking dekat Riverson Sembulan di ibu negeri. Kluster indeks merupakan lelaki, 38, juruteknik di syarikat terbabit telah bergejala sejak 25 Mei 2021, sebelum disahkan positif pada 27 Mei 2021 oleh Klinik Kesihatan Luyang. Susulan kes itu, hasil saringan kontak mendapati enam (6) lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif klusteri ini sebanyak tujuh (7) kes, termasuk satu (1) kes di Papar dan enam (6) kes di Kota Kinabalu. Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan COVID-19 berkemungkinan merebak di kawasan tempat kerja. Pasukan kesihatan kini giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan punca jangkitan.