Perkembangan Jangkitan COVID-19 (01 Jun 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 318 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,562 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tuaran. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 199 menjadikan jumlah kumulatif 59,952 orang. Seramai 1,527 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 469 orang di hospital, 1,056 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dua (2) orang. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 68 orang dan 26 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Nabawan berubah dari zon hijau ke zon kuning.

🔎 Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

i Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan yang agak ketara dengan kenaikan 111 kes iaitu daripada 207 kes kelmarin (31 Mei 2021) kepada 318 kes (1 Jun 2021).

ii Daripada 318 kes jangkitan baharu hari ini, 217 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 44 kes adalah daripada saringan kluster, 29 kes adalah daripada saringan bergejala, 16 kes daripada saringan bersasar dan 12 kes adalah daripada lain-lain kes.

iii Terdapat 13 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan (8) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala lima (5) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Tawau 90 kes (+62), Lahad Datu 43 kes (+31), Kota Belud 22 kes (+12), Kalabakan 12 kes (+11) dan Papar 13 kes (+10).

iv Walau bagaimanapun, lapan (8) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh (7) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka manakala satu (1) daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Sandakan (-31).

v Pada hari ini, tujuh (7) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Telupid, Tongod, Pitas, Kota Marudu, Keningau dan Tambunan.

vi Perubahan kes bagi setiap daerah adalah tidak statik kecuali daerah-daerah yang masih mengekalkan status Zon Hijau dan berlakunya peningkatan kes menunjukkan kebarangkalian bahawa masih terdapat ketidakpatuhan SOP di kalangan masyarakat.

vii Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pandemik COVID-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.