Perkembangan Jangkitan COVID-19 (31 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 207 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,244 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Kunak dan satu (1) kes di Lahad Datu. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 224 menjadikan jumlah kumulatif 59,746 orang. Seramai 1,482 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 472 orang di hospital, 1,008 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dua (2) orang. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 71 orang dan 25 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Beaufort berubah dari zon jingga ke zon merah. Manakala Ranau bertukar dari zon hijau ke zon kuning.

🔎 Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

i Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 17 kes iaitu daripada 190 kes kelmarin (30 Mei 2021) kepada 207 kes (31 Mei 2021).

ii Daripada 207 kes jangkitan baharu hari ini, 117 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 40 kes adalah daripada saringan kluster, 33 kes adalah daripada saringan bergejala, sembilan (9) kes daripada saringan bersasar dan lapan (8) kes adalah daripada lain-lain kes.

iii Terdapat 11 daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan sembilan (9) daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu (1) angka, manakala dua (2) lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua (2) angka iaitu Sandakan 36 kes (+27) dan Kota Kinabalu 22 kes (+14). Dua (2) daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Penampang (17 kes) dan Kota Marudu satu (1) kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin.

iv Walau bagaimanapun, lapan (8) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Enam (6) daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu (1) angka manakala dua (2) daerah lain menunjukkan penurunan ketara pada julat dua (2) angka iaitu Papar (-22 kes) dan Kunak (-12 kes).

v Pada hari ini, tujuh (7) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Beluran, Telupid, Pitas, Tongod, Nabawan, Kuala Penyu dan Tambunan.

vi Trend jangkitan yang berlaku di Negeri Sabah kekal dengan pola tidak statik namun, empat (4) daerah yang mencatatkan sifar (0) kes sebelumnya, kini mencatat kes baharu iaitu Sipitang lima (5) kes, Keningau tiga (3) kes, Ranau satu (1) kes dan Tenom satu (1) kes, menunjukkan berlakunya aktiviti ketidakpatuhan kepada SOP yang telah digariskan.

vii Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pandemik COVID-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Milenium di Tawau adalah ekoran aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Syawal. Kluster ini mula direkodkan di Klinik Kesihatan Tawau hasil saringan bergejala terhadap kes indeks yang merupakan lelaki, 43, guru di SMK Kinabutan 2 pada 23 Mei 2021. Selang dua hari kemudian, seramai 16 ahli keluarga kes indeks pula didapati positif COVID-19. Dalam pada itu, saringan kontak sosial dan tempat kerja iaitu di Agro Bank juga mengesan sembilan (9) lagi kes positif, termasuk tiga (3) kontak rapat kepada salah satu kes positif di bank komersial terbabit. Turut direkodkan lima (5) kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31 kes. Pengesanan kontak sedang giat dijalankan dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan.