Perkembangan Jangkitan COVID-19 (27 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 217 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 61,274 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Kunak. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 134 menjadikan jumlah kumulatif 59,102 orang. Seramai 1,296 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 419 orang di hospital, 874 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara tiga (3) orang. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 61 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Keningau berubah dari zon jingga ke zon merah manakala Daerah Ranau bertukar dari zon kuning ke zon hijau

🔎 Analisa Kes COVID-19 Di Sabah

i. Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 12 kes iaitu daripada 229 kes kelmarin (26 Mei 2021) kepada 217 kes (27 Mei 2021).

ii. Daripada 217 kes positif ini, sebanyak dua (2) kes hasil dari saringan kluster baharu, 42 kes hasil dari saringan kluster yang sedia ada, 10 kes hasil dari saringan bersasar (PKPD), 117 kes hasil dari saringan kontak rapat, 37 kes hasil dari saringan bergejala, tiga (3) kes hasil dari saringan kategori kemasukan wad/prosedur/penjaga, satu (1) kes hasil dari saringan pekerjaan dan tiga (3) kes hasil dari saringan lain-lain kategori. Manakala satu (1) kes kematian telah dilaporkan.

iii. Terdapat peningkatan kes untuk 11 daerah di Negeri Sabah namun catatan peningkatan kes tersebut bagi setiap daerah masih dalam satu (1) angka.

iv. Berlaku penurunan kes untuk sembilan (9) daerah dalam julat satu (1) angka, kecuali daerah Tawau yang mencatatkan penurunan dalam julat dua (2) angka.

v. Setakat hari ini, tujuh (7) daerah mencatatkan sifar (0) kes iaitu Ranau, Tambunan, Nabawan, Kota Marudu, Beluran, Telupid dan Tongod.

vi. Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pendemik COVID-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Desa Ranggu di Tawau adalah kluster yang tercetus sempena perayaan aidilfitri melibatkan individu yang telah lengkap vaksinasi masing-masing pada 06 Mac 2021 (Dos 1) dan 17 Mac 2021 (Dos 2). Individu yang juga kluster indeks bagi kluster ini merupakan wanita, 53, mempunyai gejala sejak 15 Mei 2021, kemudiannya disahkan positif di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei 2021 hasil saringan bergejala. Susulan kes itu, saringan kontak rapat dan kontak sosial mendapati 17 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes. Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada satu (1) kontak sosial yang berhari raya ke rumahnya pada 13 Mei 2021. Kontak sosial terbabit mempunyai rekod pergerakan ke tiga buah rumah di Taman Desa Ranggu serta rumah mertua di Kg Jawa Tawau sebelum dikesan positif pada 22 Mei 2021. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.