Perkembangan Jangkitan COVID-19 (25 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 266 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60,828 kes. Tiga (3) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) di Daerah Lahad Datu, satu (1) di Kota Kinabalu dan satu (1) di Penampang. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 89 menjadikan jumlah kumulatif 58,887 orang. Seramai 1,140 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 384 orang di hospital, 755 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara satu (1) orang. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 53 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Tuaran dan Kuala Penyu berubah dari zon kuning ke zon jingga, Kota Belud bertukar dari zon kuning ke zon merah, manakala Daerah
Pitas bertukar dari zon hijau ke zon kuning.

Peningkatan jumlah kes COVID-19 di Sabah hari ini adalah hasil dari saringan kontak rapat 118 kes, saringan kluster 93 kes, saringan bergejala 30 kes dan lain-lain 25 kes. Daerah Tawau mencatatkan kes tertinggi sebanyak 76 kes yang disumbang oleh 55 kes kontak rapat, bergejala 11 kes, kluster 6 kes dan lain-lain 4 kes. Kalabakan mencatatkan 25 kes sementara Kota Belud mencatatkan 29 kes.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Kalabakan Selatan di Kalabakan adalah kluster tempat kerja yang melibatkan para pekerja Ladang FGV Holdings Kalabakan Selatan. Kes indeks merupakan lelaki, 55 , yang juga pengurus ladang terbabit disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 20 Mei 2021, sebelum 21 kes lagi positif dikesan dalam kalangan kontak rapat, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 22 kes setakat hari ini. Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menziarahi rumah pekerja di kuarters Ladang FGV Holdings Kalabakan Selatan pada Hari Raya Aidilfitri.

Daripada 266 kes positif COVID-19, sebanyak 118 kes (44.4%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 30 kes (11.3%) saringan bergejala, 93 kes (34.9%) dari kluster baharu dan sedia ada serta 25 kes (9.4%) dari lain-lain kategori.