Perkembangan Jangkitan COVID-19 (24 Mei 2021)

×

kesilapan

Error creating image for images/thumbnails/ifa/thumb_ifa_logo.png
Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 184 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60,562 kes. Tiada kes kematian direkodkan hari ini.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 88 menjadikan jumlah kumulatif 58,798 orang. Seramai 1033 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 377 orang di hospital, 655 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara satu (1) orang. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 50 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Beaufort berubah dari zon kuning ke zon jingga

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Taman Deluxe di Penampang melibatkan jangkitan dalam komuniti ketika sambutan aidilfitri. Kes indeks merupakan suri rumah, 68, dari Kg Bubul Batu 2, Semporna yang merentas daerah untuk meraikan sambutan aidilfitri bersama anak-anaknya di Taman Deluxe, Penampang pada 15 Mei 2021, sebelum dikesan positif RTK-Ag 100% pada 19 Mei 2021 hasil saringan bergejala. Setakat jam 12 tengah hari 24 Mei 2021, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini ialah 12 orang daripada 14 orang yang disaring. Berdasarkan siasatan awal, punca perebakan berkemungkinan besar berlaku semasa sambutan hari raya di Kg Batu 2, Semporna pada 13 hingga 15 Mei 2021. Aktiviti siasatan masih diteruskan di lapangan untuk menyiasat punca jangkitan.

Kluster Kg Padawan di Papar mula dikesan pada 22 Mei 2021 di Klinik Kesihatan Inanam hasil saringan bergejala. Kes indeks ialah wanita, 50, dari Kg Dambai Inanam bersama tiga anaknya disahkan positif RTK-Ag. Susulan kes itu, enam (6) ahli keluarga kepada kes indeks dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes. Khuatir dengan risiko tersebut, 36 saringan RTK-Ag dilakukan di klinik swasta sebagai inisiatif oleh kontak serta ahli keluarga kepada kes indeks. Pejabat Kesihatan Daerah Papar juga telah menjalankan 113 ujian saringan RT PCR ke atas kontak rapat lain yang menghadiri majlis tersebut. Berdasarkan maklumat dan penelitian awal, jangkitan COVID-19 dipercayai menular semasa majlis pengebumian di Kg Padawan pada 17 Mei 2021. Majlis terbabit juga dihadiri keluarga terdekat dari beberapa daerah dengan kegagalan pematuhan SOP sepanjang tiga hari, termasuk aktiviti makan bersama serta berkumpul beramai-ramai pada sebelah malam.

Daripada 184 kes positif COVID-19, sebanyak 68 kes (37%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 23 kes (12.5%) saringan bergejala, 70 kes (38%) dari kluster baharu dan sedia ada serta 23 kes (12.5%) dari lain-lain kategori.