Perkembangan Jangkitan COVID-19 (22 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 189 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60,242 kes. Tiada kes kematian direkodkan hari ini.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 55 menjadikan jumlah kumulatif 58,661 orang. Seramai 847 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 332 orang di hospital dan 514 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara satu (1) orang. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 42 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Beaufort berubah dari zon kuning ke zon jingga. Manakala Kota Marudu bertukar dari zon kuning ke zon hijau.

Tiga (3) kluster baharu direkodkan hari ini.

i. Kluster Indani di Semporna mula direkodkan pada 16 Mei 2021 apabila kes indeks, warganegara, lelaki, 20, menjalani saringan bergejala di Hospital Semporna dan disahkan positif RTK Ag. Kes indeks telah ditempatkan di Hospital Semporna untuk rawatan dan isolasi. Susulan kes itu, saringan kontak yang dijalankan kemudian berjaya mengesan 11 lagi kes positif termasuk ahli keluarga (generasi pertama dan kedua), menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes setakat hari ini. Secara keseluruhan, 96 sampel kontak rapat telah diambil, manakala 49 orang kontak yang lain adalah negatif dan 35 sampel lagi masih menunggu keputusan. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat masih giat dijalankan.

ii. Kluster Abaka di Tawau yang dikesan pada 14 Mei 2021, pada hari ini mencatat jumlah kumulatif sebanyak 38 kes. Kes indeks adalah guru lelaki, 26, didapati positif serta pasangannya dalam saringan rentas negeri untuk kembali bertugas di SK Tanjung Aru, WP Labuan, selepas meraikan aidilfitri di Tawau. Berdasarkan penelitian kes, pasangan yang masuk ke Sabah pada 08 Mei 2021 itu terlibat dengan aktiviti kunjung-mengunjung sehingga 14 Mei 2021 di Taman Abaka, Ladang Table di Mukim Merotai, Tawau. Daripada 171 kontak yang disaring, 68 sampel didapati negatif, manakala 65 sampel lagi masih menunggu keputusan. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat masih giat dijalankan.

iii. Kluster Melikai di Kuala Penyu melibatkan kes indeks dari Wilayah Persekutuan Labuan yang balik ke Kg Melikai Menumbok untuk menyambut aidilfitri mulai 13 Mei 2021. Kes indeks merupakan wanita, 50, Penolong Guru Tadika Perpaduan di Batu Arang, Labuan yang mula bergejala batuk dan demam, tetapi negatif dalam saringan masuk ke Sabah pada 12 Mei 2021. Selepas empat hari berada di Sabah, kes indeks yang menjalani saringan sebelum diberikan dos kedua vaksin di Klinik Kesihatan Labuan kemudiannya disahkan positif COVID-19 pada 17 Mei 2021. Daripada 167 sampel yang diambil dalam kluster ini, 15 lagi dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes, manakala baki 74 sampel masih dalam proses. Aktiviti kawalan dan pencegahan sedang giat dijalankan.

Daripada 189 kes positif COVID-19, sebanyak 72 kes (38.1%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 21 kes (11.1%) saringan bergejala, 76 kes (40.2%) dari kluster baharu dan sedia ada serta 20 kes (10.6%) dari lain-lain kategori.