Perkembangan Jangkitan COVID-19 (20 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 245 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,909 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 45 menjadikan jumlah kumulatif 58,544 orang. Seramai 620 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 301 orang di hospital dan 315 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 39 orang dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Peningkatan kes COVID-19 Sabah pada hari ini disumbangkan oleh kluster sedia ada iaitu kluster D' Kuala yang melibatkan pelajar SMA Kuala Papar dengan 62 kes positif hari ini hasil ujian saringan kedua. Turut menokok jumlah kes di Sabah ialah 28 kes daripada kluster baharu, Lorong Karamunsing Kota Kinabalu, 11 kes daripada kluster Jalan Tun Fuad dan 37 kes dari kluster Jalan Kretam Silimpopon Kalabakan. Secara keseluruhan kes pada hari ini merangkumi 65 kluster baharu dan 84 kluster sedia ada.

Terdapat empat (4) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Jalan Pengalat Lok Kawi di Papar adalah kluster tempat kerja melibatkan para pekerja kilang CCK Fresh Mart Sabindo di daerah Papar. Kes indeks merupakan lelaki, 32, petugas di unit kawalan kualiti (QC) kilang berkenaan dan mula bergejala sejak 10 Mei 2021 sebelum disahkan positif PCR di Klinik Kesihatan Inanam pada
18 Mei 2021. Susulan kes itu, majikan telah menjalankan saringan di tempat kerja terhadap 69 warga kilang terbabit dan mendapati 15 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes. Daripada jumlah itu, 1 kes didaftarkan di Kota Kinabalu manakala 15 kes lagi di Papar. Aktiviti kawalan dan pengesanan masih giat dijalankan.

Kluster Lorong Karamunsing di pusat Bandaraya Kota Kinabalu juga merupakan kluster tempat kerja melibatkan kakitangan di kedai elektronik yang menular kepada generasi kedua iaitu ahli keluarga, selain daerah berdekatan terdiri daripada Putatan, Penampang dan Tuaran. Kes indeks adalah pekerja lelaki membaiki komputer riba yang dikesan positif COVID-19 setelah menjalani saringan bergejala demam dan hilang deria bau di Permai Poliklinik Kota Kinabalu pada 9 Mei 2021 dan telah dimasukkan ke PKRC HQ LAC untuk rawatan lanjut. Daripada 89 sampel yang diambil menerusi saringan tempat kerja, 28 orang didapati positif termasuk 10 kes baharu yang direkodkan pada 20 Mei 2021 dengan sembilan (9) kes di Kota Kinabalu dan satu (1) di Putatan. Sementara itu, 51 sampel disahkan negatif dan 17 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan. Jumlah kumulatif kes bagi kluster ini ialah 28 kes meliputi 21 Kota Kinabalu, tiga (3) Putatan, dua (2) Penampang dan dua (2) lagi dari daerah Tuaran.

Kluster Jalan Tun Fuad di pusat Bandaraya Kota Kinabalu merupakan kluster jenis tempat kerja yang melibatkan pekerja dalam tapak bina iaitu pembinaan bangunan bagi Hyatt Centric Hotel Kota Kinabalu. Kluster ini mula dikesan pada 15 Mei 2021 apabila kluster indeks iaitu pekerja lelaki, 43, yang mempunyai gejala demam dan batuk menjalani saringan RTK Antigen di Permai Poliklinik Kota Kinabalu dan didapati positif. Kes indeks telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut. Pasukan kawalan yang mengarahkan ujian saringan berjaya mengambil 641 sampel dan mengesan 10 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes merangkumi tujuh (7) kes di Kota Kinabalu, tiga (3) di Penampang dan satu (1) di Putatan. Manakala, 359 sampel pula didapati negatif serta 275 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Kluster Jalan Kretam Silimpopon di daerah Kalabakan mula direkodkan pada 14 Mei 2021 di Hospital Tawau melalui saringan bergejala terhadap kes indeks merupakan warganegara, lelaki, 33, pekerja kilang pemprosesan di Ladang Sawit Silimpopon. Kes indeks mula mengalami gejala batuk dan demam sejak 08 Mei 2021, sebelum disahkan positif COVID-19 oleh pihak hospital tersebut. Saringan kontak rapat yang dijalankan ke atas 142 orang mendapati 41 kontak dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 42 kes. Manakala, 76 sampel didapati negatif dan 24 sampel masih menunggu keputusan ujian. Aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan serta punca jangkitan masih dalam siasatan. Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri kenduri Hari Ibu di Gereja Gabungan Silimpopon yang terletak bersebelahan Jalan Kretam, Silimpopon di dalam ladang berkenaan.

Daripada 245 kes positif COVID-19, sebanyak 60 kes (24.5%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 25 kes (10.2%) saringan bergejala, 151 kes (61.6%) dari kluster baharu dan sedia ada serta sembilan (9) kes (3.7%) dari lain-lain kategori.