Perkembangan Jangkitan COVID-19 (19 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 160 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,664 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) di daerah Kunak dan satu (1) di daerah Sandakan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 68 menjadikan jumlah kumulatif 58,499 orang. Seramai 566 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 268 orang di hospital dan 298 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 41 orang dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Keningau berubah dari zon jingga ke zon kuning, daerah Kinabatangan bertukar dari zon jingga ke zon merah, manakala daerah
Kuala Penyu bertukar dari zon hijau ke zon kuning.

Terdapat tiga (3) kluster baharu direkodkan hari ini.

i. Kluster Kolopis di Penampang mencatat jumlah terkini sebanyak 13 kes positif COVID-19. Kes indeks merupakan pesara lelaki yang dikesan positif RTK-Ag 80% hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Penampang pada 04 Mei 2021. Punca perebakan berkemungkinan besar berlaku pada sebuah majlis marriage blessing pada 28 April 2021. Setakat hari ini, 30 kontak rapat telah disaring dan aktiviti mengenalpasti punca jangkitan masih giat di jalankan di lapangan.

ii. Kluster Pagar Sg Imam di Tawau berlaku ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan aidilfitri. Kes indeks adalah lelaki, 53, yang dikesan positif pada 15 Mei 2021 setelah mengalami gejala. Susulan kes itu, saringan kontak dijalankan terhadap ahli keluarga kes indeks yang tinggal di lokaliti terbabit melibatkan empat buah rumah dengan jumlah isi rumah seramai 43 orang. Daripada 70 orang yang disaring, didapati 26 orang disahkan positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 27 kes. Penyebaran jangkitan dipercayai melalui kucupan dan bersalaman. Aktiviti pengesanan kontak dan siasatan punca penularan jangkitan sedang dijalankan secara aktif.

iii. Kluster Muhibbah Dua di Lahad Datu mula dikesan pada 16 April 2021 melalui saringan bergejala ke atas kes indeks iaitu lelaki, warganegara, 47, di sebuah klinik swasta. Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 22 ahli keluarga dan kontak rapat, 13 lagi kes disahkan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes. Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan rentas daerah ke Tawau selama dua hari bermula 07 April 2021 atas urusan peribadi. Selain itu, kes indeks turut menghadiri aktiviti berbuka puasa dan sambutan aidilfitri di rumah mertua (Kg Muhibbah) bersama ahli keluarga yang lain. Semua 14 kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu. Di samping itu, kontak-kontak rapat juga diarahkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu.

Daripada 160 kes positif COVID-19, sebanyak 70 kes (43.8%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 23 kes (14.4%) saringan bergejala, 62 kes (38.8%) dari kluster baharu sedia ada serta lima (5) kes (3%) dari lain-lain kategori.