Perkembangan Jangkitan COVID-19 (17 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 60 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,409 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Keningau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 104 menjadikan jumlah kumulatif 58,320 orang. Seramai 530 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 244 orang di hospital dan 286 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 42 orang dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Sungai Langgas di Kunak melibatkan komuniti di Kg Langgas. Kes indeks merupakan anak perempuan kepada Imam Masjid Al-Mansa, 21, yang disahkan positif RTK-Ag 100% selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kunak pada 04 Mei 2021. Saringan kontak rapat yang bermula 07 Mei 2021 mendapati lima (5) kes positif RT-PCR termasuk bapa kepada kes indeks serta ahli keluarga yang lain. Saringan sampel kedua (ulangan) pada 10 hingga 11 Mei 2021 pula mengesan 11 lagi kes positif RTK-AG iaitu dua (2) kes hasil saringan kontak dan sembilan (9) kes daripada saringan bersasar. Turut dijangkiti, dua (2) kes di Fever Center Hospital Kunak pada 10 Mei 2021 dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 19 kes. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada bapanya yang telah merebak kepada para jemaah lain.

Kluster Jalan Imam Jalilul di Tawau mula dikesan apabila kes indeks iaitu guru lelaki, 41, di SK Pasir Putih dan tinggal di Kuaters SMK Pasir Putih menjalani saringan bergejala pada 07 Mei 2021. Daripada 32 kontak rapat yang disaring, 10 lagi kes positif berjaya dikesan iaitu dua (2) kes di Kuaters SMK Pasir Putih, enam (6) kes di Kg Tg Batu Darat dan dua (2) kes di Taman Semarak sekaligus mencatat jumlah terkini bagi kluster ini ialah 11 kes. Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika berbuka puasa di rumah abangnya, di Jalan Imam Jalilul, Tg Batu Darat pada 02 Mei 2021. Selain itu, jangkitan terhadap kes indeks berkemungkinan berlaku ketika kes indeks menunaikan solat terawih setiap hari di Masjid Jideen berhampiran Tanjung Batu Darat. Setakat ini, pengesanan kontak rapat dan siasatan punca jangkitan sedang giat dijalankan.