Perkembangan Jangkitan COVID-19 (16 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 87 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,349 kes. Tiada kes kematian direkodkan hari ini.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 48 menjadikan jumlah kumulatif 58,216 orang. Seramai 522 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 224 orang di hospital dan 298 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 37 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Kinabatangan berubah dari zon merah ke zon jingga.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Jalan Menteri di Kota Kinabalu dan Penampang merekodkan jumlah kumulatif sebanyak sembilan (9) kes dengan dua (2) kes didaftarkan di daerah Kota Kinabalu, manakala baki tujuh (7) kes di Penampang. Kes indeks merupakan suri rumah, 48, yang disahkan positif melalui RT PCR pada 10 Mei 2021 selepas mengalami gejala dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Saringan kontak rapat yang dijalankan oleh pasukan kawalan kemudian mendapati lapan (8) lagi kes positif COVID-19. Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri mesyuarat keagamaan pada 28 April 2021 dan 05 Mei 2021 di Tingkat 1, Pusat Paroki Gereja Sacred Heart, Jalan Menteri Kota Kinabalu. Aktiviti kawalan dan pengesanan kontak masih giat dijalankan.

Daripada 87 kes positif COVID-19, sebanyak 40 kes (46 %) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 16 kes (18.4%) saringan bergejala, 21 kes (24.1%) dari kluster baharu dan sedia ada serta 10 kes (11.5%) dari lain-lain kategori.