Perkembangan Jangkitan COVID-19 (13 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 76 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,149 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Sandakan dan satu (1) kes lagi di daerah Lahad Datu. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 51 menjadikan jumlah kumulatif 57,968 orang. Seramai 571 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 244 orang di hospital dan 327 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 33 orang dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah dicatatkan

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Kongsi Lapan di Tawau melibatkan komuniti di Kampung 8. Kes indeks merupakan wanita, 45, yang telah disahkan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tawau pada 07 Mei 2021. Turut dikesan positif COVID-19 ialah sepupu yang tinggal serumah dengan kes indeks. Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri solat terawih dan pengagihan moreh sepanjang bulan ramadan bermula 29 April hingga 06 Mei lalu di Masjid Baitul Farihin, Kampung 8. Daripada 56 orang yang disaring, sembilan (9) didapati positif menjadikan jumlah terkini bagi kluster ini ialah 11 kes, manakala 34 sampel lagi masih menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih disiasat.

Daripada 76 kes positif COVID-19, sebanyak 41 kes (53.9%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, sembilan (9) kes (11.9%) saringan bergejala, 22 kes (28.9%) dari kluster baharu dan sedia ada serta empat (4) kes (5.3%) dari lain-lain kategori.