Perkembangan Jangkitan COVID-19 (12 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 70 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,073 kes. Tiga (3) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Tawau, satu (1) kes di daerah Papar dan satu (1) kes di daerah Kinabatangan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 56 menjadikan jumlah kumulatif 57,917 orang. Seramai 576 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 239 orang di hospital dan 337 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 33 orang dan 19 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Kuala Penyu bertukar dari zon kuning ke zon hijau

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

i Kluster Kebagu di Kota Kinabalu melibatkan kluster tempat kerja di Sekolah Kebangsaan Kebagu serta ahli keluarga dan daerah Papar. Kes indeks merupakan guru wanita, 53, yang disahkan positif COVID-19 selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta pada 03 Mei 2021. Saringan kontak dilakukan terhadap 281 orang termasuk guru, kakitangan serta pelajar di sekolah terbabit kemudiannya mendapati lapan (8) lagi kes positif menjadikan jumlah terkumpul setakat ini ialah 15 kes.

ii. Kluster Tanjung Kapor di Semporna merupakan kluster komuniti dan melibatkan seorang wanita mengandung 27 minggu, warganegara Malaysia, 31, sebagai kes indeks. Pada 09 Mei 2021, kes indeks yang mengalami kekejangan otot di bahagian bawah abdomen telah dibawa ke Hospital Semporna namun didapati positif RTK Antigen 100 peratus selepas saringan pra-kemasukan hospital. Saringan kontak rapat pula mendapati tujuh (7) daripada lapan (8) isi rumah kes indeks didapati positif COVID-19 sekaligus mencatat jumlah terkini bagi klusteri ini seramai lapan (8) orang.

Daripada 70 kes positif COVID-19, sebanyak 25 kes (35.7%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh (7) kes (10%) saringan bergejala, 33 kes (47.2%) dari kluster baharu dansedia ada serta lima (5) kes (7.1%) dari lain-lain kategori.