Perkembangan Jangkitan COVID-19 (07 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 153 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,733 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 112 menjadikan jumlah kumulatif 57,499 orang. Seramai 590 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 238 orang di hospital dan 352 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 31 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Sipitang berubah dari zon hijau ke zon kuning.

Peningkatan kes COVID-19 Sabah hari ini yang mencecah 153 kes disebabkan saringan Kluster D'Kuala yang merekodkan 43 kes daripada 44 kes bagi daerah Papar dan saringan kluster Umas 33 kes baru daripada 39 kes bagi daerah Kalabakan yang membabitkan Kompleks Perumahan Felda Umas.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Ladang LSP Kinabatangan, Sandakan melibatkan para pekerja di dua ladang sawit iaitu di Kinabatangan dan Sandakan dengan catatan jumlah terkini sebanyak 20 kes. Kes Indeks merupakan seorang lelaki berumur 27 tahun, pekerja di Ladang Kinabatangan yang disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 21/4/2021 bagi saringan masuk kerja. Susulan kes itu, saringan kontak mendapati 19 lagi kes positif masing-masing 13 kes hasil saringan tempat tinggal, Ladang Sungai Pin (Ladang Borneo Samudera) di Kinabatangan; dua (2) kes hasil saringan tempat kerja iaitu Ladang Kinabatangan di Kinabatangan dan empat (4) kes hasil saringan kontak serumah melalui sampel kedua di Ladang Sepagaya, Sandakan. Hingga kini, aktiviti persampelan COVID-19 dan disinfeksi diteruskan untuk menilai jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang yang lain.

Daripada 153 kes positif COVID-19, sebanyak 29 kes (18.9%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 17 kes (11.1%) saringan bergejala, 101 kes (66.1%) dari kluster baharu dan sedia ada serta enam (6) kes (3.9%) dari lain-lain kategori.