Perkembangan Jangkitan COVID-19 (04 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 89 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,461 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) di daerah Tawau dan satu (1) di daerah Kalabakan.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 109 menjadikan jumlah kumulatif 57,173 orang. Seramai 664 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 233 orang di hospital dan 431 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 32 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Papar bertukar dari zon jingga ke zon merah manakala daerah Kudat berubah dari zon kuning ke zon hijau.

Satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster D Kuala ialah kluster yang melibatkan pelajar-pelajar di SMA Negeri Pantai Manis. Kes indeks merupakan pelajar perempuan, 16, dan disahkan positif pada 1 Mei 2021 hasil saringan bergejala di Hospital Papar. Pada hari yang sama, seorang (1) rakan kepada indeks kes juga dikesan positif. Susulan kes itu, pengesanan secara aktif (ACD) dan saringan terhadap kontak rapat dijalankan pada 02 Mei lalu merangkumi rakan sebilik serta guru. Hasil saringan tersebut merekodkan 14 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada kontak rapat yang mempunyai gelaja lebih awal. Kebarangkalian ini adalah berdasarkan kes yang direkod pada 03 Mei 2021 di mana beberapa pelajar yang dikesan positif mempunyai gejala lebih awal daripada pengesanan kes indeks di sekolah terbabit. Setakat hari ini, kawalan penularan giat dilaksanakan dan arahan penutupan sekolah juga telah dikeluarkan berkuat kuasa mulai 02 Mei 2021.

Daripada 89 kes positif COVID-19, sebanyak 30 kes (33.7%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh (7) kes (7.9%) saringan bergejala, 47 kes (52.8%) dari kluster sedia ada serta lima (5) kes (5.6%) dari lain-lain kategori.