Perkembangan Jangkitan COVID-19 (01 Mei 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 64 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,200 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 93 menjadikan jumlah kumulatif 56,864 orang. Seramai 694 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 262 orang di hospital dan 432 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 49 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan hari ini.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Jalan Kilang Dua di Lahad Datu adalah kluster jenis tempat kerja dan nama kluster sempena nama jalan di Kilang Gamalux Oil. Merekodkan 11 kes positif COVID- 19, kluster ini merupakan kali kedua berlaku di kawasan tersebut selepas Kluster Jalan Kilang didaftarkan pada Disember 2020. Kes indeks ialah warganegara lelaki, 37, pekerja di kilang terbabit dan disahkan positif pada 23 April 2021 hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Lahad Datu. Susulan kes itu, saringan kontak rapat mendapati 10 lagi kes positif. Hasil penelitian, penularan jangkitan dipercayai berlaku akibat penggunaan tempat yang tertutup dan sempit ketika para pekerja berbuka puasa. Aktiviti pengesanan kontak kini aktif dijalankan.

Kluster Umas di Kalabakan berlaku di Mukim Brumas, Daerah Kalabakan dengan catatan jumlah terkumpul sebanyak 34 kes positif. Kes indeks merupakan Pengurus Lesen Pekerjaan Felda Utara Kalabakan yang dikesan positif hasil saringan bergejala pada 22 April 2021. Turut disahkan positif, sembilan (9) ahli keluarga kes indeks serta lapan (8 orang jemaah di sebuah masjid selepas menjalani saringan kontak rapat. Hasil penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan aktiviti di masjid seperti berbuka puasa dan pengagihan moreh bersama AJK masjid. Pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dilaksanakan.

Daripada 64 kes positif COVID-19, sebanyak 31 kes (48.4%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 10 kes (15.6%) saringan bergejala, 20 kes (31.3%) dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga (3) kes (4.7%) dari lain-lain kategori.