Perkembangan Jangkitan COVID-19 (30 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 89 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,136 kes. Tiada kes kematian direkodkan hari ini.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 162 menjadikan jumlah kumulatif 56,771 orang. Seramai 718 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 281 orang di hospital dan 437 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 51 orang dan 18 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan hari ini.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.
Kluster Kg Bergosong di Tawau merupakan kluster jenis komuniti dan tempat kerja yang merekodkan jumlah terkini sebanyak 21 kes. Kes indeks merupakan seorang suri rumah dari Kg Bergosong yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 13 April 2021. Saringan terhadap kontak rapat kemudiannya mendapati lapan (😎 kes positif termasuk ahli keluarga kes indeks. Hasil penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri tahlil pada 08 April 2021. Saringan di tempat kerja iaitu di Ladang Prosperous Kg Bergosong turut dijalankan berikutan salah seorang daripada kontak rapat yang dikesan positif merupakan pekerja di ladang terbabit. Hingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan.

Daripada 89 kes positif COVID-19, sebanyak 48 kes (53.9%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 20 kes (22.5%) saringan bergejala, 18 kes (20.2%) dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga (3) kes (3.4%) dari lain-lain kategori.