Perkembangan Jangkitan COVID-19 (28 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 87 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,916 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 189 menjadikan jumlah kumulatif 56,494 orang. Seramai 836 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 288 orang di hospital, 547 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan satu (1) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 45 orang dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Papar berubah dari zon merah ke zon jingga.

Satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Madai: Kunak, Lahad Datu merekodkan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 30 kes. Daripada kluster ini, 12 kes dicatatkan di Lahad Datu manakala 18 kes lagi di Kunak.

Kes indeks merupakan pekerja pasaraya di Lahad Datu yang dikesan positif dalam saringan bergejala pada 04 April 2021. Saringan kontak rapat pada 08 April mendapati 11 rakan serumah juga positif RTK-Ag. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada ibu mertua yang telah melakukan rentas daerah ke Kunak bagi menzarahi anaknya iaitu guru di SMK Madai. Guru tersebut telah disahkan positif oleh pusat kesihatan di Kunak pada 09 April 2021.

Susulan kes itu, saringan kali kedua terhadap semua guru dan pelajar di SMK Madai dijalankan pada 20 April, selepas saringan pertama pada 10 April gagal mengesan sebarang kes. Saringan terbabit mengenal pasti tiga (3) pelajar asrama positif RTK-Ag dan dua (2) pelajar asrama positif RT-PCR. Turut dikesan, dua (2) kes melibatkan ahli keluarga pelajar asrama (pelajar pulang asrama). Saringan sampel kedua yang dijalankan pada 27 April mengesahkan enam (6) pelajar asrama SMK Madai positif RTK-Ag.

Dalam pada itu, saringan tempat kerja (SMK Madai) mengesahkan satu (1) kes positif, sementara saringan bergejala merekodkan empat (4) kes baharu di Hospital di Kunak pada 18 April lepas. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan.

Daripada 87 kes positif COVID-19, sebanyak 51 kes (58.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 14 kes (16.1%) saringan bergejala, 18 kes (20.7%) dari kluster baharu dan sedia ada serta empat (4) kes (4.6%) dari lain-lain kategori.