Perkembangan Jangkitan COVID-19 (24 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 132 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 57,538 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Tawau dan satu (1) di Sandakan. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 120 menjadikan jumlah kumulatif 55,894 orang. Seramai 967 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 296 orang di hospital, 661 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 10 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 45 orang dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah dilaporkan hari ini.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Dambai Inanam: Kota Kinabalu, Inanam dan Kuala Penyu melibatkan komuniti di tiga buah daerah. Kes indeks merupakan individu yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 16 April 2021. Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis pertunangan di Kg Dambai di Mukim Kionsom. Susulan kes itu, pasukan kawalan JKNS menjalankan pengesanan kontak dalam kalangan tetamu majlis berkenaan. Daripada 119 sampel yang diambil, 18 kes dikenal pasti positif COVID-19 termasuk tiga (3) kes di Putatan, lima (5) kes di Kuala Penyu. Kluster bertambah parah apabila salah seorang daripada individu yang disahkan di Kuala Penyu adalah guru yang kemudiannya menjangkiti dua (2) orang murid dalam kelas jagaannya. Sehingga hari ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 19 kes.

Daripada 132 kes positif COVID-19, sebanyak 90 kes (68.2%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 24 kes (18.2%) saringan bergejala, 15 kes (11.3%) dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga (3) kes (2.3%) dari lain-lain kategori.