Perkembangan Jangkitan COVID-19 (19 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 125 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,910 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 125 menjadikan jumlah kumulatif 55,254 orang. Seramai 1008 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 309 orang di hospital, 635 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 64 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 55 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Kinabatangan berubah dari zon kuning ke zon jingga.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.
Kluster Tagasan di Semporna melibatkan para pelajar di Maktab Rendah Sains MARA. Kes indeks adalah pelajar Tingkatan 4 yang disahkan positif hasil saringan bergejala di sebuah klinik kesihatan pada 08 April 2021. Susulan kes itu, saringan kontak rapat mendapati empat (4) lagi pelajar serta seorang (1) pemandu di institusi tersebut dikesan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak enam (6) kes. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan sedang giat dijalankan.

Daripada 125 kes positif COVID-19, sebanyak 62 kes (49.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 12 kes (9.6%) saringan bergejala, 45 kes (36%) dari kluster baharu dan sedia ada serta enam (6) kes (4.8%) dari lain-lain kategori.