Perkembangan Jangkitan COVID-19 (17 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 163 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,673 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu masing-masing satu (1) kes di daerah Kota Kinabalu dan Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 90 menjadikan jumlah kumulatif 55,084 orang. Seramai 920 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 287 orang di hospital dan 633 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 52 orang dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Keningau berubah dari zon merah ke zon jingga.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Bukit Quoin di Tawau melibatkan kluster di Mukim Balung yang mencatat tujuh (7) kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes. Kes indeks merupakan Pembantu Pertanian di Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 01 April 2021. Saringan tempat kerja dan kontak rapat setakat ini mengesan 11 kes termasuk tiga (3) pekerja di stesen berkenaan. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan.

Kluster Jalan Damai Tawau melibatkan Mukim Sri Tanjung yang merekodkan tiga (3) kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes. Kes indeks merupakan Juruaudit di syarikat percukaian yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 11 April 2021. Jangkitan kemudiannya menular di sebuah premis agensi Kerajaan Pusat di Tawau melalui adik kepada kes indeks yang telah disahkan positif pada 14 April 2021. Saringan kontak rapat mendapati 12 lagi kes positif termasuk empat (4) kes rakan sekerja di agensi terbabit. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih dilaksanakan.

Daripada 163 kes positif COVID-19, sebanyak 66 kes (40.5%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 18 kes (11.1%) saringan bergejala, 70 kes (42.9%) dari kluster baharu dan sedia ada serta sembilan (9) kes (5.5%) dari lain-lain kategori.