Perkembangan Jangkitan COVID-19 (15 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 202 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,367 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Sandakan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 85 menjadikan jumlah kumulatif 54,865 orang. Seramai 886 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 286 orang di hospital dan 600 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 49 orang dan 18 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Nabawan bertukar dari zon kuning ke zon jingga.

Terdapat empat (4) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Biah Skim di Keningau melibatkan Mukim Ansip. Kluster ini mencatatkan jumlah kumulatif 10 kes, setelah sembilan (9) kes positif dikesan hasil saringan kontak rapat pada hari ini. Kes indeks disahkan positif COVID-19 melalui saringan pra kemasukan wad bersalin di salah sebuah pusat perubatan di Keningau pada 13 April 2021. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri arwah saudara pada 29 Mac 2021 yang dihadiri ahli keluarga dan jiran di Kg Biah Skim. Saringan kontak rapat dan pengesanan punca kini masih aktif jalankan.

Kluster Lorong Megah Jaya di Sandakan melibatkan rumah pekerja di Bandar Megah Jaya. Kluster ini dikesan pada 12 April 2021, apabila kes indeks yang bekerja di pusat kesihatan menjalani saringan bergejala dan disahkan positif COVID-19. Susulan kes itu, saringan terhadap 37 kontak rapat mendapati 17 kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes. Berdasarkan penelitian, penularan jangkitan dipercayai berlaku dalam kalangan rakan sekerja yang tinggal di rumah pekerja.

Kluster Jalan Labuk 3 di Sandakan melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama penuh. Pada hari ini merekodkan penambahan tujuh (7) kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes. Kes indeks merupakan seorang pelajar yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 07 April 2021. Saringan kontak rapat di asrama sekolah terbabit mendapati 10 pelajar positif melalui ujian RTK AG dan PCR, manakala empat (4) kes lagi positif dalam kalangan kontak serumah. Punca jangkitan dan saringan masih giat dijalankan.

Kluster Melangkap Tomis di Kota Belud melibatkan Daerah Tuaran dan Daerah Kota Belud. Kluster yang dikesan pada 07 April 2021 ini menokok satu (1) kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes. Kes indeks disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Tuaran. Saringan kontak rapat mendapati sembilan (9) lagi kes positif iaitu enam (6) kes dari Kota Belud dan tiga (3) kes dari Tuaran. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan silang dalam kalangan 178 tetamu yang menghadiri majlis pertunangan di Kg Melangkap Tomis pada 30 Mac 2021.

Daripada 202 kes positif COVID-19, sebanyak 79 kes (39.1%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 26 kes (12.9%) saringan bergejala, 89 kes (44%) dari kluster baharu dan sedia ada serta lapan (8) kes (4%) dari lain-lain kategori.