Perkembangan Jangkitan COVID-19 (14 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 142 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,165 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 76 menjadikan jumlah kumulatif 54,780 orang. Seramai 840 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 339 orang di hospital dan 501 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 49 orang dan 16 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Nabawan bertukar dari zon jingga ke zon kuning.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Batu 10 di Tawau menambah satu (1) kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes. Kes indeks merupakan guru wanita di sekolah rendah yang dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala. Turut disahkan positif, suami kepada kes indeks yang bertugas di Lembaga Koko Tawau pada 31 Mac 2021. Hasil saringan kontak rapat, 14 lagi kes positif dikesan iaitu empat (4) pekerja Lembaga Koko, sembilan (9) kontak rapat kepada pekerja dan seorang pelajar di sekolah tempat kes indeks mengajar. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan sedang giat dijalankan.

Kluster Jalan Khidmat di Kota Kinabalu mencatat 22 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 24 kes. Kes indeks merupakan dua (2) pelajar lelaki Tingkatan 2, di salah sebuah sekolah menengah agama. Kedua-duanya dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 12 April 2020. Susulan kes itu, pasukan kawalan telah menjalankan aktiviti persampelan ke atas semua kontak di sekolah terbabit. Daripada 796 sampel yang diambil, 22 kes disahkan positif, 228 sampel negatif manakala 544 sampel lagi masih menunggu keputusan ujian.

Daripada 142 kes positif COVID-19, sebanyak 48 kes (33.8%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 13 kes (9.2%) saringan bergejala, 69 kes (48.5%) dari kluster baharu dan sedia ada serta 12 kes (8.5%) dari lain-lain kategori.