Perkembangan Jangkitan COVID-19 (13 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 117 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,023 kes. Empat (4) kes kematian direkodkan hari ini iaitu tiga (3) di daerah Tawau dan satu (1) Nabawan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 78 menjadikan jumlah kumulatif 54,704 orang. Seramai 814 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 328 orang di hospital dan 486 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 47 orang dan 15 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Nabawan bertukar dari zon kuning ke zon jingga.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Tabanak di Lahad Datu mencatatkan tujuh (7) kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes. Kes indeks merupakan lelaki, berusia 39 tahun yang disahkan positif hasil saringan bergejala di klinik kesihatan pada 09 April 2021. Susulan kes itu, ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes indeks telah menjalani saringan. Daripada 88 orang disaring, 14 orang lagi dikesan positif, 27 orang negatif saringan pertama dan 47 orang masih menunggu keputusan. Berdasarkan maklumat lanjut, kes indeks telah menghadiri kenduri arwah pada 30 Mac 2021 di Kg Tabanak. Semua 15 kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan dan pengasingan di PKRC Lahad Datu. Kontak-kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu.

Kluster Kg Gayang di Tuaran pada hari ini menambah 2 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 23 kes. Kes indeks merupakan lelak, 69 tahun dari Kg Gayang yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 04 April 2021. Daripada 72 orang kontak rapat yang disaring, 22 orang dikesan positif COVID-19. Saringan komuniti di Kg Gayang telah dijalankan secara aktif hingga kini. Berdasarkan penelitian, kes indeks telah menghadiri kenduri pada 28 Mac 2021 dengan anggaran tetamu lebih 30 orang.

Daripada 117 kes positif COVID-19, sebanyak 65 kes (55.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 14 kes (11.9%) saringan bergejala, 35 kes (29.9%) dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga (3) kes (10.1%) dari lain-lain kategori.