Perkembangan Jangkitan COVID-19 (11 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 127 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,797 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Lahad Datu. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 77 menjadikan jumlah kumulatif 54,558 orang. Seramai 737 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 292 orang di hospital dan 445 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 41 orang dan 14 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Tuaran berubah dari zon jingga ke zon merah, manakala daerah Nabawan bertukar dari zon kuning ke zon jingga.

Kerajaan Negeri menggalakkan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dan swasta di kawasan yang disenaraikan PKPD dan PKP. Bagi membendung penularan pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri menyeru orang ramai agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengurangkan kehadiran ke kawasan tumpuan awam.
Satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Meruntum di Putatan merekodkan dua (2) kes baharu positif COVID-19 pada hari ini iaitu satu (1) di Putatan dan satu (1) lagi di Penampang, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak lapan (8) kes. Kluster ini juga mengaitkan satu (1) kes (generasi kedua) yang dilaporkan di luar daerah Penampang. Kes indeks merupakan Ketua Anak Negeri yang dikesan positif hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 08 April 2021. Berdasarkan penelitian pergerakan, kes indeks telah menghadiri majlis aqiqah di Kg Meruntum Fasa III pada 27 hingga 28 Mac 2021 dan kursus di Majlis Daerah Putatan pada 31 hingga 1 April 2021. Daripada 71 kontak rapat yang disaring sehingga 09 April 2021, lapan (8) orang disahkan positif sementara 62 orang lagi masih menunggu keputusan.