Perkembangan Jangkitan COVID-19 (09 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 139 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,539 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan iaitu di daerah Semporna. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 52 menjadikan jumlah kumulatif 54,411 orang. Seramai 632 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 285 orang di hospital dan 347 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 36 orang dan 12 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Kunak berubah dari zon merah ke zon jingga, daerah Penampang bertukar dari zon jingga ke zon kuning, daerah Sandakan berubah dari zon jingga ke zon merah manakala daerah Pitas dan Sipitang bertukar dari zon hijau ke zon kuning.

Kerajaan Negeri TIDAK MEMBENARKAN sebarang majlis sosial di daerah yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebarang perlanggaran SOP akan dikenakan tindakan KOMPAUN TANPA KOMPROMI.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Sim-Sim di Sandakan mempunyai jumlah kumulatif sebanyak 15 kes, setelah mencatat penambahan 14 kes pada hari ini. Kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di sebuah klinik pada 04 April 2021. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi di Flat Sim Sim pada 03 April 2021. Daripada 20 ahli keluarga terdekat yang disaring, 14 orang disahkan positif COVID-19.

Kluster Batu Lima Jalan Sibuga di Sandakan menokok satu (1) kes pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak lapan (8) kes. Kes indeks merupakan pelajar di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dikesan positif COVID- 19 pada 30 Mac 2021 melalui saringan bergejala. Berdasarkan penelitian, jangkitan dipercayai menular dalam kalangan pelajar di kelas dan bilik asrama yang sama. Susulan kes itu, 91 pelajar dengan 39 kakitangan institusi berkenaan serta 13 petugas dewan makan telah disaring dan mendapati tujuh (7) orang disahkan positif COVID-19.

Daripada 139 kes positif COVID-19, sebanyak 49 kes (35.2%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 15 kes (10.8%) saringan bergejala, 71 kes (51.1%) dari kluster sedia ada serta empat (4) kes (2.9%) dari lain-lain kategori.