Perkembangan Jangkitan COVID-19 (06 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 112 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,234 kes. Tiga (3) kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu (1) kes di daerah Tawau, Tenom dan Putatan. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh 60 menjadikan jumlah kumulatif 54,244 orang. Seramai 549 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 238 orang di hospital dan 311 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 36 orang dan 13 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Kunak berubah dari zon jingga ke zon merah. Manakala Beluran bertukar dari zon kuning ke zon hijau.

Satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Belacon di daerah Lahad Datu pada hari ini menokok sembilan (9) kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 17 kes. Kes indeks merupakan lelaki, 22 tahun yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di sebuah klinik pada 31 Mac2021. Susulan kes itu, saringan terhadap 195 individu yang merupakan kontak rapat serta pengunjung gereja mendapati 16 kes positif, manakala 137 individu didapati negatif saringan pertama dan 42 individu lagi masih menunggu keputusan. Hasil penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang petugas gereja bukan warganegara, 54 tahun, berasal dari Tawau. Beliau mula bergejala sejak 25 Mac 2021 dan didapati positif pada 04 April hasil saringan kontak rapat di sebuah klinik. Semua kes positif dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu. Kontak rapat yang lain diarahkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu.

Daripada 112 kes positif COVID-19, sebanyak 39 kes (34.8%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 11 kes (9.8%) saringan bergejala, 50 kes (44.7%) dari kluster baharu dan sedia ada serta 12 kes (10.7%) dari lain-lain kategori.