Perkembangan Jangkitan COVID-19 (04 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 68 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,057 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh ialah 54 menjadikan jumlah kumulatif 54,123 orang. Seramai 476 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 201 orang di hospital dan 275 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 29 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Penampang berubah dari zon kuning ke zon jingga.

Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Rich Park di daerah Tawau pada hari ini menambah 10 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes. Kes indeks merupakan guru besar sekolah rendah, lelaki, 58 tahun, dari Taman Rich Park. Kes indeks disahkan positif COVID-19 selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta pada 1 April 2021. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin ahli keluarga di tiga lokasi berbeza iaitu Taman Rich Park dan Taman Ria Tawau pada 26 Mac 2021 (30 orang setiap lokasi), sebelum menghadiri majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka melibatkan kehadiran 200 orang. Selain itu, kes indeks juga telah menghadiri mesyuarat yang dihadiri sekurang-kurangnya 50 orang. Sehingga hari ini, 95 orang telah disaring dan 12 orang didapati positif. Aktiviti pengesanan kontak rapat kini giat dijalankan.

Daripada 68 kes positif COVID -19, sebanyak 22 kes (32.4%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, sembilan (9) kes (13.2%) saringan bergejala, 32 kes (47.1%) dari kluster baharu dan sedia ada serta lima (5) kes (7.3%) dari lain-lain kategori.