Perkembangan Jangkitan COVID-19 (03 April 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 73 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,989 kes. Tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh ialah 35 menjadikan jumlah kumulatif 54,069 orang. Seramai 483 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 205 orang di hospital dan 278 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 28 orang dan 16 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Penampang berubah dari zon Jingga ke zon kuning manakala daerah telupid bertukar dari zon kuning ke zon hijau.

Terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan hari ini.

Kluster Kubota Sentral di Tawau menambah dua (2) kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak sembilan (9) kes. Kes indeks merupakan lelaki berumur 25 tahun dan jurujual di premis kelengkapan rumah. Kes indeks disahkan positif setelah menjalani saringan bergejala di salah sebuah klinik pada 29 Mac 2021. Saringan di tempat kerja mendapati enam (6) kes positif, sementara dua (2) kes lagi melalui saringan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada rakan sekerja. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan.

Kluster KgSimpang Tiga Merotai, Kalabakan dan Tawau pada hari ini mencatat tiga kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes. Kes indeks merupakan wanita berusia 44 tahun bersama anak lelaki, berumur 14 tahun yang tinggal di Kg Simpang Tiga Mukim Merotai. Kedua-duanya disahkan positif menerusi saringan bergejala pada 25 Mac 2021 dan telah dimasukkan ke wad di pusat perubatan. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri meminang pada 17 Mac2021 di KgPasir Putih. Susulan kes itu, daripada 36 orang yang disaring sejak 28 Mac 2021 hingga hari ini, 10 kontak rapat disahkan positif iaitu dua (2) ahli keluarga dari Taman Sawit, Balung dan lapan (8) orang lagi keluarga dari Kg Simpang Tiga Merotai. Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.

Daripada 73 kes positif COVID -19, sebanyak 28 kes (38.4%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 11 kes (15.1%) saringan bergejala, 28 kes (38.4%) dari kluster baharu dan sedia ada serta enam (6) kes (8.1%) dari lain-lain kategori.