Perkembangan Jangkitan COVID-19 (25 Mac 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 70 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,470 kes. Tiada kematian kes COVID-19 direkodkan hari ini.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh ialah 85 menjadikan jumlah kumulatif 53,619 orang. Seramai 400 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 162 orang di hospital dan 238 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 21 orang dan enam (6) orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Nabawan berubah dari zon merah ke zon jingga, Sandakan bertukar dari zon jingga ke zon kuning. Manakala Kinabatangan bertukar dari zon kuning ke zon jingga.
Pada hari ini, dua (2) kluster baharu direkodkan.

Kluster Siasai Tamu di Daerah Kota Belud pada hari ini menambah satu (1) lagi kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes. Kes indeks merupakan guru wanita pra-sekolah, berusia 46 tahun yang disahkan positif COVID- 19 melalui saringan bergejala di salah sebuah pusat perubatan di Kota Belud. Berdasarkan rekod, kes indeks telah menghadiri majlis kenduri arwah di rumah kakaknya. Hasil saringan kontak rapat mendapati enam (6) orang positif di rumah berkenaan, sementara itu empat (4) lagi dikesan positif melalui saringan tempat kerja (sekolah terbabit). Setakat ini, seramai 162 orang penduduk di Kampung Siasai telah menjalani saringan.

Kluster Tenegang di Daerah Kinabatangan mencatatkan 19 lagi kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes. Kes indeks adalah pekerja kilang sawit yang telah merentas zon untuk melawat keluarga dan disahkan positif melalui saringan bergejala. Saringan kontak rapat mendapati 19 lagi kes positif masing-masing tujuh (7) kes melibatkan pekerja kilang dan 12 kes adalah ahli keluarga pekerja berkenaan. Aktiviti saringan masih giat dijalankan di samping persampelan COVID-19 serta disinfeksi untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas ke ladang – ladang berhampiran.

Daripada 70 kes positif COVID-19, sebanyak 28 kes (40%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, enam (6) kes (8.6%) saringan bergejala, 22 kes (31.4%) dari kluster baharu dan sedia ada serta 14 kes (20%) dari lain-lain kategori.