Perkembangan Jangkitan COVID-19 (11 Mac 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 61 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 53,736 kes dengan tiada kes kematian direkodkan.

Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh ialah 78 menjadikan jumlah kumulatif 52,546 orang. Seramai 547orang pesakit sedang menerima rawatan iaitu 189 orang di hospital dan 358 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 19 orang dan enam (6) orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Beluran dan Putatan berubah dari zon jingga ke zon kuning. Manakala Kudat bertukar dari zon jingga ke zon merah.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu direkodkan.

Kluster Jambatan 1 Bombalai di Kalabakan merekodkan pertambahan empat (4) kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes. Kes indeks merupakan wanita berusia 59 tahun yang tinggal di Kg Jambatan 1 Bombalai dalam mukim Merotai di daerah Kalabakan. Kes indeks itu dikesan positif melalui saringan bergejala di salah sebuah pusat perubatan di Tawau pada 26 Februari 2021. Hasil penelitian, kes indeks telah mengadakan kenduri akikah di kediaman beliau (Kg Jambatan 1 Bombalai) pada 20 Februari 2021. Daripada 41 kontak rapat yang disaring sejak 01 Mac 2021, 14 orang disahkan positif. Pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan.

Daripada 61 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 41 kes (67.2%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, lima (5) kes (8.2%) saringan bergejala, sembilan (9) kes (14.8%) saringan kluster baharu dan sedia ada serta enam (6) kes (9.8%) dari lain-lain kategori.