Perkembangan Jangkitan COVID-19 (05 Mac 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 97 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 53,313 kes. Tiada kes kematian dilaporkan hari ini.

Pada hari ini, seramai 95 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 51,964 orang. Sementara itu, sejumlah 686 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 248 orang di hospital, 431 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tujuh (7) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 28 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Daerah Kudat dan Kunak berubah dari zon kuning ke zon jingga.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu direkodkan.

Kluster Kuala Punteh di daerah Keningau mencatatkan penambahan tujuh (7) kes menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-9 sebanyak 25 kes. Kes indeks dikesan melalui saringan pra kemasukan ke hospital di salah sebuah pusat perubatan di Keningau pada 26 Februari 2021. Hasil penelitian, kes indeks mendapat jangkitan daripada ahli keluarga serumah yang telah menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina (11 Februari 2021), sambutan Chap Goh Mei (26 Februari 2021) dan berkumpul sempena menuai padi yang bermula pada 14 Februari 2021. Aktiviti saringan kontak rapat masih giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Keningau.

Daripada 97 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 49 kes (50.5%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala tujuh (7) kes (7.2%), saringan kluster baharu dan sedia ada 24 kes (24.8%), saringan bersasar tujuh (7) kes (7.2%) dan 10 kes (10.3%) adalah dari lain- lain kategori.