Perkembangan Jangkitan COVID-19 (24 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 105 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 52,373 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

hari ini, seramai 190 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 50,925 orang. Pada hari ini juga sejumlah 799 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 300 orang di hospital, 489 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 10 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 41 orang dan 13 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Nabawan berubah dari zon jingga ke zon merah. Sementara, Kudat dan Semporna bertukar dari zon jingga ke zon kuning.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu dilaporkan.

Kluster Sinsingon, Nabawan pada hari ini mencatat 15 kes baharu positif menjadikan jumlah kumulatif COVID-19 sebanyak 18 kes. Kes indeks melibatkan tiga (3) individu yang dikesan positif melalui ujian RTK-Ag. Ketiga-tiga kes tidak mempunyai gejala ketika disaring masuk ke asrama pada 22 Februari 2021. Hasil saringan kontak rapat mendapati 15 daripada 30 orang ahli keluarga yang disaring, disahkan positif COVID-19. Jangkitan dipercayai berpunca sewaktu menghadiri majlis penghormatan kematian keluarga di Kampung Sinsingon, Mukim Sapulut Nabawan pada 17 sehingga 20 Februari 2021.

Daripada 105 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 58 kes (55.2%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 16 kes (15.2%), saringan kluster baharu dan sedia ada 25 kes (23.8%), PERKESO satu (1) kes (1%) dan lima (5) kes (4.8%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 sebanyak 785 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 3,913 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 5,698 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 14.02%.