Perkembangan Jangkitan COVID-19 (20 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 109 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 51,979 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu di daerah Kota Kinabalu. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 112 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 50,436 orang. Pada hari ini juga sejumlah 831 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 317 orang di hospital, 512 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan dua (2) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 51 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan hari ini.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu dilaporkan.

Kluster Jalan Pasar di Kota Belud mencatatkan dua (2) kes positif COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 13 kes. Kes indeks merupakan penguatkuasa yang dikesan positif hasil saringan bergejala di salah sebuah pusat perubatan Kota Belud pada 11 Februari 2021. Susulan kes itu, lima (5) kes positif COVID-19 disahkan melalui saringan bergejala dan tujuh (7) kes lagi daripada saringan kontak rapat.

Daripada 109 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 40 kes (36.7%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 15 kes (13.8%), saringan kluster baharu dan sedia ada 49 kes (44.9%) dan lima (5) kes (4.6%) adalah dari lain- lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 kekal 925 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 3,935 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 5,860 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 14.18%.