Perkembangan Jangkitan COVID-19 (13 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 101 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 51,216 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu di daerah Kalabakan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Jumlah 101 kes pada hari ini merupakan bilangan terendah sejak 01 Oktober tahun lalu. Selepas tarikh tersebut, penularan kes COVID-19 di Sabah terus merekodkan peningkatan melepasi jumlah 100 kes sehari. Kemuncak jangkitan pandemik ini ialah pada 06 November 2020 di mana sejumlah 1,199 kes dicatatkan.

Kerajaan Negeri amat mengharapkan agar bilangan kes di negeri ini terus mencatatkan penurunan selepas ini. Sehubungan itu, adalah diharapkan rakyat Sabah dapat mematuhi arahan-arahan semasa dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan khususnya pada musim perayaan. Tidak mustahil kita akan mencapai sifar Covid-19 sekiranya rakyat dapat mengekalkan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian sebagaimana yang diamalkan sekarang.

Pada hari ini, seramai 174 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 49,148 orang. Pada hari ini, sejumlah 1,150 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 456 orang di hospital, 691 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga (3) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 58 orang dan 22 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Tambunan bertukar dari zon kuning ke zon jingga

Pada hari ini, tiada kluster baharu dilaporkan.

Daripada 101 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 71 kes (70.3%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 12 kes (11.9%), saringan kluster sedia ada empat (4) kes (3.9%) dan 14 kes (13.9%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,078 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,033 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,111 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 18.82%.