Perkembangan Jangkitan COVID-19 (10 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 132 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 50,855 kes. Empat (4) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu dua (2) kes di Daerah Tawau, satu (1) kes di daerah Putatan dan satu (1) kes di daerah Sandakan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 174 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 48,535 orang. Sejumlah 1,424 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 517 orang di hospital, 904 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga (3) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 64 orang dan 21 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Kuala Penyu berubah dari zon jingga ke zon kuning.

Pada hari ini, dua (2) kluster baharu dilaporkan:

i Kluster Jalan Tiga KKIP Kota Kinabalu mencatatkan enam (6) kes positif COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 21 kes. Kes indeks merupakan seorang pekerja kilang pemprosesan ayam yang melakukan saringan bergejala di Klinik Kesihatan Telipok. Individu itu dikesan positif COVID-19 melalui RTK Antigen pada 03 Februari 2021. Saringan kontak rapat dan tempat kerja masih diteruskan.

ii. Kluster Lorong Bersatu Damai, Kota Kinabalu merekodkan 10 kes baharu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes. Kes indeks dikesan hasil saringan prosedur pesakit di wad salah sebuah hospital pada 04 Februari 2021. Saringan kontak rapat masih giat dijalankan bagi mengesan penularan jangkitan COVID-19.

Daripada 132 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 57 kes (43.1%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 15 kes (11.4%), saringan kluster baharu dan sedia ada 24 kes (18.2%), kluster PERKESO satu (1) kes (0.8%) dan 35 kes (26.5%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,078 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,033 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,111 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 23.30%.