Perkembangan Jangkitan COVID-19 (06 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 233 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 50,214 kes. Tiga (3) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Tuaran, satu (1) kes daerah Tawau dan satu (1) kes di daerah Kalabakan. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 288 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 47,578 orang. Sejumlah 1,745 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 711 orang di hospital, 1,027 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tujuh (7) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 81 orang dan 25 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Pitas bertukar dari zon jingga ke zon kuning.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu dilaporkan iaitu:

i. Kluster Jalan Chester di Tawau mencatatkan pertambahan tujuh (7) kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes. Kes indeks merupakan seorang jurujual di kedai emas di pusat bandar disahkan positif hasil saringan bergejala pada 2 Februari 2021. Hasil saringan kontak rapat, sembilan (9) lagi kes positif COVID-19 telah dikesan bagi kluster ini. Aktiviti pengesanan masih giat dijalankan.

Daripada 233 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 166 kes (71.3%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 22 kes (9.4%), saringan kluster baharu dan sedia ada 24 kes (10.3%) dan 21 kes (9%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,088 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,033 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,121 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 28.51%.