Perkembangan Jangkitan COVID-19 (03 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 190 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 49,610 kes. Terdapat satu (1) kes kematian direkodkan iaitu di daerah Sandakan. Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 337 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 46,238 orang. Sejumlah 1,928 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 656 orang di hospital, 1,263 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan sembilan (9) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 91 orang dan 24 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Beluran bertukar dari zon jingga ke zon merah. Manakala Daerah Nabawan dan Tambunan berubah dari zon jingga ke zon kuning.

Pada hari ini, tiga (3) kluster baharu dilaporkan:

i Kluster Jalan Satu, KKIP di Kota Kinabalu dan Tuaran mencatatkan pertambahan tiga (3) kes positif COVID-19 pada hari ini. Kes indeks merupakan pekerja di gedung pakaian di Kota Kinabalu yang dikesan melalui saringan sebelum masuk kerja. Wabak kemudiannya tersebar kepada keluarga iaitu pekerja gudang di KKIP. Hasil saringan kontak rapat mendapati
29 lagi kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30 kes.

ii Kluster Ladang Tangkarason di Beluran merekodkan 16 kes baharu. Kes indeks merupakan pekerja yang dikesan melalui saringan pekerjaan pada 01 Februari 2021 setelah mengalami gejala. Hasil saringan kontak rapat dan tempat kerja mendapati 15 lagi kes positif COVID-19 dikesan bagi kluster ini.

iii Kluster Bandar Lama di Tawau setakat hari ini mendapati pertambahan lima (5) kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 24 kes positif COVID-19 . Kes indeks merupakan seorang pekerja di pusat bandar yang dikesan melalui saringan bergejala pada 21 Januari 2021. Pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.

Daripada 190 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 95 kes (50%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 27 kes (14.2%), saringan kluster baharu dan sedia ada 41 kes (21.6%), saringan PERKESO 12 kes (6.3%) dan 15 kes (7.9%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,088 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,033 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,121 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 31.5%.