Perkembangan Jangkitan COVID-19 (01 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 276 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 49,144 kes. Tiada kes kematian direkodkan pada hari ini.

Pada hari ini, seramai 301 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 45,513 orang. Sejumlah 2,035 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 685 orang di hospital, 1,326 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 24 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 91 orang dan 26 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan pada hari ini.

Pada hari ini, tiga (3) kluster baharu dilaporkan:

i Kluster Kg Samin, Sipitang melibatkan lapan (8) lagi kes positif baharu COVID-19 dikesan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 28 kes. Kes indeks merupakan wanita, 27 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 27 Januari 2021 di Hospital Kota Belud. Beliau yang pulang dari majlis pengkebumian di Kg Samin, Sipitang disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK Antigen.

ii Kluster Kg Padas Damit, Beaufort mencatatkan pertambahan enam (6) kes positif COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 32 kes. Kes indeks merupakan wanita berusia 63 tahun yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan kemasukan wad pada 24 Januari 2021.

iii Kluster Ladang Sg Pin, Kinabatangan mencatatkan pertambahan 33 kes baharu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 36 kes positif COVID-19. Kes indeks melibatkan seorang staf ladang dan anaknya yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala.

Daripada 276 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 174 kes (63%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 24 kes (8.7%), saringan kluster baharu dan sedia ada 53 kes (19.2%), saringan PERKESO satu (1) kes (0.4%), saringan pra rawatan 3 kes (1.1%) dan 21 kes (7.6%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,088 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,033 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,121 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 33.25%.

Pada hari ini, dua PKRC telah ditutup iaitu PKRC SJK (C) Pai Sheng di Kunak dan KRC PPR Batu Putih di Sandakan. Turut ditutup operasi di PTS Sandakan.